suria

27 lelaki hadiri perhimpunan Hindraf didenda RM1,000 seorang

KUALA LUMPUR: Sebanyak 27 orang, masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mereka mengaku bersalah gagal bersurai pada perhimpunan haram anjuran kumpulan tidak berdaftar Hindu Rights Action Force(Hindraf) pada 25 Nov di ibu negara, tahun lepas.

Hakim Akhtar Tahir memerintahkan mereka menjalani penjara tiga minggu jika gagal membayar denda itu.

Kesemua mereka yang kebanyakannya pekerja kilang dan pekerja rencam berumur antara awal 20-an dan lewat 50-an menukar pengakuan mereka hari ini selepas peguam dari Biro Bantuan Guaman Kuala Lumpur yang mewakili mereka, Datuk N. Sivananthan menghantar representasi kepada Pejabat Peguam Negara pada Selasa.

Akhtar semasa membuat keputusan itu berkata walaupun mereka menukar pengakuan selepas pendakwaan memanggil 12 saksi untuk memberikan keterangan tetapi mahkamah mengambil kira tindakan mereka itu telah dapat menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Hakim itu berkata beliau turut mempertimbangkan rayuan dan faktor lain sebelum menjatuhkan hukuman terhadap mereka.

Katanya faktor utama dalam rayuan mereka ialah mereka menyesal dengan tindakan mereka itu dan tidak melibatkan keganasan.

Akhtar berkata beliau turut mengambil kira yang ia merupakan kesalahan pertama mereka dan kehadiran mereka di mahkamah sejak dua minggu lepas bagi perbicaraan juga merupakan satu hukuman kerana sesetengah mereka telah kehilangan kerja.

Bagaimanapun, katanya tidak kira betapa amannya perhimpunan itu seperti didakwa tetapi ia tetap menganggu kehidupan orang ramai dan membahayakan harta benda awam.

"Pada pendapat saya, dalam kes ini hukuman penjara tidak perlu. Bagaimanapun, denda sudah memadai sebagai pengajaran kepada mereka," katanya.

Sebanyak 54 orang didakwa dengan pertuduhan itu dan pendakwaan pada 25 April tahun ini telah menggugurkan pertuduhan terhadap lelaki berumur 73 tahun selepas mengambil kira faktor umurnya.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu dekat bangunan MIDF dekat Jalan Tun Razak, persimpangan Jalan Ampang dan stesen LRT Ampang antara 6 pagi dan 12 tengah hari pada 25 Nov tahun lepas.

Dalam rayuannya, peguam Sivananthan memberitahu yang kumpulan itu berada di tempat itu hanya untuk menyerahkan petisyen kepada Suruhanjaya Tinggi Britian dan mereka tiada motif untuk mencetuskan sebarang masalah atau bertindak ganas.

"Mereka bersetuju yang mereka telah gagal bersurai apabila diarahkan oleh polis tetapi tindakan mereka itu tidak mendatangkan sebarang bahaya kepada orang ramai dan mereka tidak melakukan sebarang jenayah," katanya.

Katanya direman selama tiga hari juga merupakan pengalaman pahit dan berupa satu hukuman kepada mereka.

Timbalan Pendakwa Raya Amir Nasruddin berkata meminta mahkamah mengenakam hukuam setimpal kerana perbuatan mereka telah menganggu ketenteraman awam.

"Mereka hanya menukar pengakuan selepas pendakwaan memanggil 12 saksi dan mahkamah patut mengenakan hukuman setimpal terhadap mereka sebagai pengajaran kepada orang lain," kata Amir.

Hakim Akhtar kemudian menetapkan Selasa ini untuk sambung bicara terhadap 26 yang lain yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang sama. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain