suria

BPR buka fail siasat kes cubaan beli Anggota Parlimen

PUTRAJAYA: Siasatan akan dijalankan berhubung dakwaan beberapa Anggota Parlimen (MP) Barisan Nasional (BN) mengenai cubaan pihak pembangkang untuk membeli mereka, kata Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Katanya BPR telah menerima beberapa laporan berhubung kes seumpama itu dan tindakan akan diambil ke atas pihak terlibat sekiranya ia didapati benar.

"Kami telah membuka fail siasatan dan telah menerima beberapa laporan daripada beberapa MP mengenai tawaran yang mereka terima untuk menyertai parti pembangkang.

"Ini adalah sebahagian daripada langkah proaktif kami dalam menangani kes-kes rasuah di negara ini," katanya.

Dalam hal ini, katanya, semua Anggota Parlimen yang didatangi dengan tawaran seumpama itu diminta agar melaporkan perkara itu kepada BPR untuk membolehkan siasatan dijalankan. "Kegagalan untuk melaporkan perkara ini adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan," katanya.

Bagaimanapun Ahmad Said enggan menamakan MP terlibat sebaliknya berkata perkara itu akan dipantau dengan teliti dan hanya akan diumumkan sebaik sahaja keputusan mengenainya diperolehi.

"Kami tidak boleh memberikan nama..tunggulah bila keputusan diterima nanti," katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasan Malek hari ini mendakwa beliau ditawarkan menyertai Pakatan Rakyat dengan dijanjikan sejumlah wang serta kedudukan dalam kerajaan.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan Hasan mendedahkan wakil dari parti pembangkang menemuinya lima hingga enam kali bagi memujuk menyertai pembangkang selepas Pilihan Raya ke12 Mac lepas.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain