suria

Tindakan SAPP keluar BN tidak mengejutkan - Ong

KLANG: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, tindakan Parti Maju Sabah (SAPP) meninggalkan Barisan Nasional (BN) bukan satu perkara yang mengejutkan lebih-lebih lagi setelah mengambil kira perkembangan terbaru parti itu yang telah menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kepimpinan BN.

Beliau berkata, MCA bagaimanapun menghormati keputusan SAPP untuk keluar daripada BN kerana mereka berhak untuk berbuat demikian.

Katanya, walaupun SAPP memutuskan untuk meninggalkan BN tetapi parti komponen lain mempunyai tanggungjawab untuk terus berusaha keras memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat yang telah memberi mandat kepada parti ini untuk terus memerintah negara pada pilihan raya umum lepas.

"Apabila rakyat telah memberi mandat kepada BN, kita mesti memenuhi janji pilihan raya lepas dan memandang serius aspirasi rakyat kerana itulah tanggungjawab BN kepada rakyat Malaysia.

"Kita (BN) perlu jadi sangat sensitif, proaktif, adil dan telus dalam menjalankan tanggungjawab kita sebagai kerajaan yang mengambil berat terhadap kebajikan rakyat dan perkembangan ekonomi bagi mengekalkan keharmonian dan mempastikan negara terus maju," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua di sini hari ini.

Ong berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan SAPP meninggalkan BN dalam mesyuarat majlis tertinggi parti itu di Kota Kinabalu, semalam.

Katanya, walaupun tindakan SAPP itu sedikit sebanyak akan mempengaruhi moral parti komponen BN lain, tetapi beliau yakin BN akan tetap utuh kerana setiap parti komponen memegang teguh kepada prinsipnya.

Bagaimanapun, Ong berkata BN perlu bersedia menghadapi perubahan di kalangan parti komponen yang menuntut peranan lebih besar dalam membuat keputusan dan dasar.

"Parti komponen lain tidak hanya sekadar duduk tanpa membuat sebarang kerja dan kita ingin mengambil bahagian dalam banyak keputusan dan jika keputusan yang diambil tidak memenuhi kehendak ramai pihak, kami akan sentiasa menyuarakannya.

"Kami juga bukan hanya menjadi parti yang menyetujui sebarang keputusan atau tindakan yang tidak munasabah kerana kami adalah sebahagian daripada BN. BN bukan hanya dimiliki oleh sebuah parti sahaja tetapi dimiliki oleh semua parti komponen, justeru kami akan berdiri teguh dalam BN bagi memastikan keadilan dan semangat asal kerjasama antara semua parti komponen tidak tergugat oleh manamana pihak," katanya.

Ditanya sama ada beliau bimbang jika ada parti komponen BN lain yang akan mengikut langkah SAPP, Ong berkata beliau hanya bercakap bagi pihak MCA dan enggan membuat sebarang spekulasi terhadap parti komponen lain berhubung kemungkinan itu.

"Dalam setiap mesyuarat Majlis Tertinggi dan jawatankuasa pengurusan BN, kami sentiasa menyuarakan pandangan parti masing-masing serta pendapat masyarakat. Kami fikir kami perlu terus berbuat demikian kerana kami telah dipilih oleh rakyat dan kami akan tetap berdiri teguh di bawah BN serta menggunakan mandat ini untuk terus mewakili rakyat," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain