suria

16 Sept: Tidak dedah MP BN, Anwar nafi gagal tapi mahu temui PM

KUALA LUMPUR: Tarikh 16 September datang dan berlalu!

Pakatan Rakyat yang dinanti dengan penuh debaran akan mengumumkan senarai nama Ahli Parlimen yang bakal melompat parti itu, sekali gus membentuk kerajaan baru persekutuan tidak 'menjadi realiti'.

Sebaliknya kata Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau bersedia dan hanya akan mengumumkan nama-nama Ahli Parlimen BN kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad terlebih dahulu.

"Sebaik sahaja jumpa Perdana Menteri, kita akan patuh mengikut Perlembagaan termasuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong," kata beliau pada sidang media yang padat di Ibu Pejabat PKR di sini petang ini. Sidang media itu bermula pukul 2.25 petang dengan dihadiri pemimpin-pemimpin komponen Pakatan Rakyat - PKR, DAP dan PAS.

PAS diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Kamaruddin Jaafar dan DAP pula Tan Kok Wai, Naib Presidennya dan Ahli Parlimen Cheras.

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merupakan Presiden PKR.

Katanya, tujuan beliau ingin mengadakan pertemuan dengan Abdullah adalah bagi memastikan proses peralihan kuasa dalam kerajaan berjalan dengan lancar dan aman.

"Kami tidak ingin berulangnya peristiwa yang berlaku sewaktu mengambil alih kuasa di negeri Perak dan Selangor, di mana dokumen milik kerajaan negeri di lupuskan oleh pentadbiran terdahulu.

"Kita faham bukan senang bagi Umno dan Barisan Nasional (BN) menghadapi perkara ini (perubahan kerajaan) kerana mereka sudah terlalu lama dalam kerajaan.

Sambil menambah Perdana Menteri kini berada dalam keadaan terdesak, Anwar berkata, Pakatan Rakyat akan memberikan ruang dan masa kepada beliau untuk bertindak secara bertanggungjawab dan menghormati kehendak rakyat.

Pakatan Rakyat mengumumkan sasaran membentuk kerajaan baru 16 September - sempena pembentukan Malaysia pada 1 April lalu - selepas pilihan raya umum 8 Mac.

Pada sidang media hari ini, sebagaimana dikatakan malam tadi dan beberapa kali sebelum ini, Anwar mengulangi mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Kata beliau, Pakatan Rakyat mempunyai lebih daripada 31 Ahli Parlimen tambahan - daripada BN yang diperlukan bagi mencapai sasaran mereka.

"Kita dapat jumlah Ahli Parlimen yang melebihi keperluan minimum. Mereka mewakili semua kaum, kelompok dan wilayah," katanya.

Anwar juga menjelaskan beliau ada menerima nota daripada seorang Ahli Parlimen mengenai pendiriannya bagi menyertai Pakatan Rakyat.

Ketika ditanya butiran mengenai ahli-ahli Parlimen berkenaan, Anwar berkata: "Kalau umumkan sekarang mereka akan ditangkap kerana kita sudah tahu prosedur kerajaan."

Bagaimanapun Anwar berharap agar kerajaan BN tidak menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap Ahli Parlimen yang akan menyertai Pakatan Rakyat ataupun menggunakan undang-undang darurat atau kuasa polis bagi menghalangnya menubuhkan kerajaan.

Berhubung soalan tindakan susulannya jika Abdullah enggan menemui beliau, Anwar berkata, Perdana Menteri tiada pilihan kerana ini dilakukan atas kehendak rakyat.

"Sama ada beliau suka atau tidak, yang penting kita ada jumlah yang cukup dan ini adalah kehendak rakyat, beliau tiada pilihan melainkan bersetuju mengadakan perbincangan," katanya yang mengaku tidak memberikan sebarang tempoh kepada Abdullah.

Bagaimanapun Anwar percaya Abdullah tetap akan bertemu dengan beliau sedikit waktu lagi untuk membincangkan proses peralihan kuasa dan pembentukan kerajaan baru.

Ditanya apakah janji beliau selepas ini jika beliau gagal membentuk kerajaan seperti yang diperkatakan sebelum ini, solan tersebut mengundang kemarahan Anwar.

"Janji apa? Kenapa nak sebut mengenai janji? Kita dah ada jumlah yang cukup untuk bentuk kerajaan baru," katanya dengan nada yang agak tinggi.

Anwar turut ditanya bilakah beliau akan mengadap bagi memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan baru, beliau berkata perkara itu hanya akan dilaksanakan selepas beliau menemui Perdana Menteri.

Mengenai Kabinet baru beliau nanti setelah berjaya membentuk kerajaan, Anwar menjelaskan beliau sentiasa bersifat terbuka sama ada untuk memberi ruang kepada BN ataupun tidak.

"Saya mengambil sikap terbuka dalam soal ini, bagaimanapun ia perlu dibincangkan bersama komponen Pakatan Rakyat yang lain," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain