suria

Tiada anggota Parlimen MIC sertai Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Ketua Penerangan MIC Datuk M. Saravanan hari ini menafikan laporan media bahawa beberapa anggota Parlimen MIC akan menyertai Pakatan Rakyat.

"Bertukar kem tidak pernah terlintas di fikiran mana-mana anggota Parlimen MIC. Kami tidak akan lompat ke pembangkang. Walau apa pun berlaku kami akan tetap bersama Barisan Nasional (BN) baik pada masa senang atau susah," katanya.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Perak yang juga anggota jawatankuasa pusat Ahmad Awang dipetik oleh portal berita Malaysiakini, sebagai berkata beberapa anggota Parlimen dari MIC dan MCA akan menyertai Pakatan Rakyat, gabungan parti pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat, PAS dan DAP.

MIC mempunyai tiga anggota Parlimen dan kesemua mereka memegang jawatan dalam kerajaan.

Mereka ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri S.K. Devamany dan Saravanan.

"Jika mereka (pembangkang) terlalu yakin kami akan melompat, kenapa tidak umumkan senarai nama. Lepas itu kita boleh lihat sama ada senarai itu betul atau sebaliknya.

"Mengatakan kami akan meninggalkan BN adalah satu daripada cara pembangkang untuk menimbulkan keraguan di kalangan parti komponen BN," kata Saravanan. Beliau berkata, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berhenti daripada menetapkan tarikh tertentu selepas gagal merealitikan tarikh yang ditetapkan sebelum ini untuk menumbangkan kerajaan BN.

"Mula-mula dia kata 16 Sept, tapi sekarang ia akan berlaku pada Selasa ini(23 Sept).

"Beliau mahu Parlimen bersidang bagi membolehkan beliau mengemukakan usul undi tidak percaya. Walaupun jika Parlimen bersidang, beliau hanya membahaskan usul tanpa mempunyai jumlah sokongan yang diperlukan.

"Beliau akan mula bercakap mengenai perkara lain untuk kepentingan politiknya sendiri. Saya tidak fikir beliau mempunyai walau seorang pun anggota Parlimen untuk dinamakan.

"Beliau mesti sedar rakyat telah bosan. Beliau sepatutnya mula bekerja untuk menjadi ketua pembangkang yang efektif. Beliau sepatutnya meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan politiknya," kata Saravanan.

Semalam, Anwar pada sidang akhbarnya mahu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan sidang khas Parlimen bagi membolehkannya menamakan anggota Parlimen yang akan menyertai Pakatan Rakyat dan meluluskan undi tidak percaya terhadap Abdullah dan kerajaan BN. Abdullah, sebaliknya menolak permintaan itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain