suria

Ka Chuan nyatakan sokongan terbuka kepada Tee Keat

BESUT: Calon timbalan presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan menyatakan sokongan terbuka terhadap Datuk Seri Ong Tee Keat yang bakal menentang Datuk Chua Jui Meng bagi merebut jawatan Presiden MCA pada pemilihan parti 18 Okt ini.

Setiausaha Agung MCA itu berkata, secara peribadi beliau merasakan muka baru wajar diberi peluang untuk menerajui parti utama kaum Cina itu kerana mempunyai pandangan yang berbeza dan lebih efisien untuk memimpin parti.

"Saya tidak boleh nafikan pengalaman dan kebolehan Jui Meng sebagai pemimpin kerana dia pernah menjadi menteri dan naib presiden selama dua penggal. Tetapi kalau boleh, beri peluang pada orang yang lebih muda untuk menerajui kepimpinan dan membawa perubahan kepada parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pesta Kuih Bulan anjuran MCA Bahagian Besut di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Chor Chee Heung.

"Jika mereka mahukan seorang pemimpin berpengalaman dalam usia 60an tidak ada masalah, tetapi bagi saya pendedahan perlu diberi kepada pemimpin yang lebih muda. Itu pandangan peribadi saya," katanya.

Mengulas mengenai hasrat bekas naib presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek untuk menentangnya bagi jawatan timbalan presiden, Ka Chuan berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk menghadapi pertandingan itu.

"Saya tidak mempunyai masalah hubungan dengan beliau (Soi lek), cuma saya mengharapkan satu pertandingan yang sihat dengan berkempen menonjolkan kelebihan masing-masing. Bukannya menyerang peribadi lawan," katanya.

Beliau berharap pertandingan kali ini dijalankan dalam suasana bersih dan tidak memecahbelahkan perpaduan parti.

"Dalam keadaan sekarang, MCA dan BN tidak boleh berpecah. Kita sudah tidak ada ruang lagi untuk berpecah belah. Pemimpin yang dipilih nanti harus memulakan kerja untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada MCA dan BN amnya," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain