suria

Tak puas hati isu sempadan tanah, lelaki disabit ketika menyapu laman... Jiran mengamuk sampai hilang nyawa!

Lokasi mangsa ditetak sebelum dikejarkan ke hospital. -Foto Kompas

SATU pertikaian dipercayai berkaitan sempadan tanah berakhir tragedi, apabila seorang lelaki maut selepas diserang menggunakan senjata tajam oleh jirannya.

Mangsa, Sumarsono, 53, dilaporkan meninggal dunia akibat pendarahan teruk selepas mengalami beberapa luka tetakan ketika berada di halaman rumahnya sekitar pukul 6 pagi.

Kejadian dilaporkan berlaku di Jember, Jawa Timur di Indonesia pada Isnin.

Ketua Operasi Unit Siasatan Jenayah Polis Jember, Inspektor Pertama Dwi Sugianto berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menyapu halaman rumahnya.

"Tiba-tiba suspek yang dikenali sebagai Buradi, 68, datang dari arah belakang kiri sambil menghayunkan sabit," katanya.

Menurut Dwi, serangan mengejut itu menyebabkan mangsa panik dan cuba melarikan diri sambil meminta pertolongan.

Malah katanya, mangsa berlari ke rumah ketua kejiranan, namun suspek terus mengejarnya dan sekali lagi menghayunkan senjata tajam di hadapan rumah berkenaan.

"Hayunan kedua sabit mengenai pinggang kiri dan tangan mangsa, ketika dia cuba menahan serangan," katanya sambil memaklumkan mangsa mengalami koyakan serius di pinggang serta tapak tangan kanan.

Kecederaan yang berlaku itu membuatkan mangsa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Namun dia disahkan meninggal dunia akibat pendarahan teruk.

Polis kemudiannya menahan suspek dan merampas senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Siasatan awal polis mengesyaki kejadian berpunca daripada pertikaian sempadan tanah antara mangsa dan suspek.

"Kami telah menahan suspek bersama barang bukti. Siasatan lanjut masih dijalankan sebelum kertas siasatan dilengkapkan," katanya. -Agensi

Artikel Lain