suria

[V] Wanita berlakon jumpa bayi dekat parit... Rupanya anak sendiri, dibuang selepas dilahirkan

Tangkap layar video menunjukkan situasi ketika si ibu pura-pura 'terjumpa' bayi.

SEORANG individu didakwa membuang bayi lelaki yang baru dilahirkan sebelum berpura-pura menjadi orang yang 'menjumpai' dan menyelamatkan bayi berkenaan.

Perbuatan itu terbongkar menerusi video [tonton video] yang memaparkan suspek menggendong bayi dibalut kain, sambil dikerumuni orang ramai yang menyangka dia orang pertama menjumpainya.

Kejadian dilaporkan berlaku di Sungai Pinang, Kota Samarinda, Indonesia, 7 Januari lalu apabila bayi tersebut dijumpai di saluran parit di tepi rumah penduduk di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Sungai Pinang, AKP Aksaruddin Adam berkata, individu berbaju hitam yang jelas kelihatan dalam video tersebut sebenarnya adalah ibu kandung kepada bayi itu.

Rakaman video berkenaan menjadi petunjuk penting kepada pihak polis untuk mengenal pasti identiti suspek sebelum dia ditahan bagi membantu siasatan.

Hasil soal siasat mendapati wanita itu mengaku membuang bayinya atas alasan tidak mampu menjaganya kerana masih mempunyai seorang lagi anak berusia lingkungan satu tahun.

Wanita itu turut memaklumkan bahawa bayi yang dilahirkan sekitar pukul 1 pagi waktu tempatan itu tidak mempunyai bapa.

Tambah Aksaruddin, pihak polis bersama agensi berkaitan kini mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan bayi dan ibunya dalam keadaan sihat.

Rakaman video kejadian itu sebelum ini tular di TikTok SurabayaTV setelah dimuat naik pada 9 Januari dan kini sudah meraih hampir 24 juta jumlah tontonan serta pelbagai reaksi netizen yang terkejut dengan pendedahan tersebut.

"Dari hidungnya, kelihatan sangat baru lepas bersalin.

"Hairannya, boleh ya santai macam tu. Mukanya macam tak ada rasa simpati atau apa-apa macam tu. Saya yang tengok pun rasa sedih," antara komen netizen pada video. -Agensi

Artikel Lain