SEORANG lelaki warga emas berusia 60 tahun mengalami kecederaan parah selepas dipukul dan diseret di atas jalan oleh sekumpulan pemuda kerana enggan menyerahkan duit.Berdasarkan laporan, mangsa, Laxman Prasad Prajapati sedang dalam perjalanan pulang menaiki basikalnya selepas menghadiri sebuah pesta pada lewat malam Sabtu. Menurut polis, setibanya di lokasi, dia ditahan tiga lelaki yang menaiki motosikal di satu selekoh jalan.Suspek bertindak memintas laluan selepas mangsa mengabaikan permintaan mereka untuk mendapatkan wang bagi membeli minuman keras."Apabila mangsa enggan, mereka bertindak memukulnya, membuang barang-barangnya atas jalan."Kaki mangsa turut diikat pada motosikal sebelum dia diseret beberapa kilometer," kata polis.Akibat perbuatan kejam itu, mangsa mengalami kecederaan serius.Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Rewa, Madhya Pradesh, India.Orang awam yang menyaksikan kejadian segera menghubungi talian kecemasan 112 sebelum mangsa dikejarkan ke Pusat Kesihatan Komuniti Semaria untuk rawatan awal.Kecederaan parah yang dialami membuatkan mangsa dirujuk ke Hospital Memorial Sanjay Gandhi di Rewa dan kini masih menerima rawatan.Dalam pada itu, Penolong Penguasa Polis Tambahan, Aarti Singh berkata, identiti suspek sudah dikenal pasti dan satu pasukan khas telah digerakkan untuk menahan mereka."Semua suspek akan ditangkap dalam masa terdekat dan tindakan tegas mengikut undang-undang akan diambil," katanya.Penduduk tempatan menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan menuntut hukuman berat dikenakan terhadap pelaku. -Agensi