SEORANG lelaki dianggap kejam kerana membiarkan ibunya terbaring di lantai bilik mandi selama enam hari selepas pengsan akibat angin ahmar.
Lebih menyedihkan, wanita berusia 66 tahun itu meninggal dunia di bilik mandi tersebut.
Menurut laporan, lelaki yang dikenali sebagai Zheng, 43, tinggal bersama ibunya yang juga bernama Zheng selama lebih dua dekad di Kaohsiung, Taiwan.
Pada 18 Mei lalu, ibunya pengsan di bilik mandi selepas mengalami strok dan Zheng dilaporkan ada bertanyakan kepada ibu tentang keadaan dirinya.
Apabila si ibu menasihatkan anaknya supaya tidak risau, Zheng tidak campur tangan dan meneruskan rutin harian dengan membiarkan ibunya di dalam bilik mandi.
Pada hari kedua hingga kelima selepas kejadian, dia memanggil ibunya tetapi tidak mendapat maklum balas namun tidak pergi memeriksa keadaan wanita itu.
Pada 23 Mei, Zheng pulang ke rumah dan mendapati ibunya telah meninggal dunia dengan mayat mula mereput.
Dia melaporkan kejadian tersebut kepada polis dengan pakar forensik, Gao Dacheng, menyatakan bahawa wajah ibu Zheng dalam keadaan hitam.
"Pendarahan subarachnoid (salah satu ruang di otak) boleh berkembang secara perlahan-lahan. Ini tidak menunjukkan niat jahat tetapi kecuaian yang teruk," katanya.
Zheng, yang dikatakan berasal dari keluarga miskin, ditahan atas dakwaan membunuh dan meninggalkan mayat, dan dipindahkan ke Pejabat Pendakwa Daerah Kaohsiung.
Bapanya meninggalkan mereka sekeluarga ketika kecil, abangnya meninggal dunia dalam kemalangan dan dia menghabiskan dua dekad menjaga ibunya seorang diri.
Dia bekerja di kilang pada siang hari dan menjaga ibunya pada waktu malam.
Rakan-rakan di kawasan kejiranan tidak percaya lelaki itu berniat membunuh ibunya.
"Dia telah menjaga ibunya seorang diri selama beberapa dekad dan tidak pernah berkahwin.
"Ibunya sakit teruk dan dia bekerja lama dengan lebih masa. Saya tidak percaya dia akan meninggalkan ibunya," kata seorang jiran.-Agensi


