suria

Budak 12 tahun lari rumah, tahu kematian bapa selepas polis jumpa di tepi jalan

Kanak-kanak melarikan diri hanya mengetahui kematian bapanya akibat kemalangan (gambar kanan) selepas ditemui polis. -Foto QQ.COM

SEORANG kanak-kanak lelaki yang lari dari rumah terkejut mengetahui bapanya telah meninggal dunia ketika ditemui oleh polis.

Kanak-kanak berusia 12 tahun yang dikenali sebagai Wang itu melarikan diri dari rumah pada 20 Mei lalu, selepas dimarahi dan dipukul bapanya kerana terlalu lama bermain telefon bimbit.

Dua hari kemudian, bapanya, seorang penghantar barang, maut dilanggar sebuah kereta ketika sedang bertugas di Jiangxi, China.

Menurut saksi, mangsa sedang menunggang motosikal elektrik apabila terbabit dalam kemalangan itu dan diseret ke bawah kereta.

Selepas dimaklumkan mengenai latar belakang keluarga, polis dan sukarelawan melancarkan pencarian bagi membolehkan kanak-kanak itu bertemu bapanya buat kali terakhir. 

Namun, apabila dia ditemukan di tepi jalan berhampiran sebuah kedai, bapanya sudah meninggal dunia.

Sukarelawan tempatan memaklumkan bahawa budak itu tinggal bersama bapa dan neneknya yang berusia lebih 70 tahun selepas ibu bapanya bercerai semasa dia masih kecil.

Kisah menyayat hati ini tular di media sosial China dan meraih hampir lima juta tontonan di salah satu platform utama.

"Mungkin bapanya sedang mencarinya sambil menghantar pesanan.

"Dia mungkin belum faham apa ertinya kematian pada usia muda, tetapi mungkin dia akan menyesal seumur hidupnya," kata seorang lagi.

Ada juga pengguna media sosial yang mengaitkan insiden ini dengan tekanan hidup keluarga ibu atau bapa tunggal, serta kurangnya masa untuk mendidik anak apabila ibu bapa terpaksa bekerja tanpa henti.-Agensi

 

Artikel Lain