KASIH ayah sanggup berkorban nyawa.
Seorang lelaki berusia 49 tahun maut selepas mengalami strok serebrum secara tiba-tiba pada 29 Mei.
Gavin Neo yang merupakan pemandu kenderaan sewa persendirian (e-hailing), dikatakan sering bekerja 15 jam sehari demi memberi kehidupan selesa kepada anak-anaknya yang berusia 17 dan 13 tahun.
Kejadian dilaporkan berlaku di Singapura.
Berkongsi cerita, rakannya, Bryan Ang berkata, mangsa akan memulakan kerjanya pada sebelah petang dan berterusan sepanjang malam.
Dia akan berhenti selepas menghantar anak-anaknya ke sekolah pada waktu pagi.
Bukan itu sahaja, Gavin juga sering berjimat dan hanya menikmati nasi ayam termurah di bandar yang berharga 3.80 dollar Singapura (RM12.50).
Apabila ditanya kenapa perlu berjimat, dia hanya menyatakan "Ini untuk anak-anak saya dan masa depan mereka."
Dia juga tidak minum alkohol, merokok, atau berbelanja untuk diri sendiri.
"Gavin seorang yang rendah hati, sentiasa berkongsi pengalamannya dengan rakan sebaya dan pemandu baharu dalam perniagaan yang sama," kata Ang. -Agensi


