SEORANG rakyat Malaysia dilapor maut ketika menyelam di perairan Iboih di Kota Sabang, Indonesia pada pagi Sabtu.
Mangsa, Haikal Rafie Halim, 33, menyelam bersama dua rakannya yang juga rakyat Malaysia, dikenali sebagai Mai dan Libau dengan ditemani pemandu selam warga Indonesia, Wahyu Saputra pada 9.30 pagi.
Siasatan polis mendapati selepas 20 minit menyelam pada kedalaman 30 meter, kumpulan tersebut dihanyutkan arus bawah laut yang kuat.
Mangsa dipercayai panik dan cuba naik ke permukaan tanpa mengikuti arahan penuh daripada pemandu selam.
Sebaik tiba di permukaan, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengeluarkan buih dari mulut.
Usaha menyelamat dilakukan segera oleh pasukan penyelam dan mangsa dibawa menggunakan bot laju ke pesisir Iboih, berhampiran Rubiah Tirta Diver.
Mangsa diberi bantuan pernafasan kecemasan di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Pusat Kesihatan Iboih.
Setibanya di pusat kesihatan pada pukul 10.30 pagi, rawatan lanjut diberikan namun mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 10.50 pagi.
Jenazah kemudiannya dihantar ke Hospital Kota Sabang untuk proses bedah siasat.
Ketua Polis Sabang, AKBP Sukoco, yang hadir sendiri di lokasi kejadian bersama Ketua Polis Sukakarya, Ipda Hairul Saleh Ritonga, menegaskan bahawa siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Beliau turut menasihatkan para penyelam agar memeriksa kelengkapan menyelam sebelum turun ke laut dan mematuhi arahan serta pelan menyelam yang ditetapkan.
“Gunakan peralatan keselamatan seperti tali pemberat dan komputer selam, serta sentiasa periksa keadaan cuaca dan laut sebelum memulakan penyelaman,” katanya.
Tambah beliau lagi, penyelam juga disarankan tidak melakukan aktiviti itu jika mempunyai masalah kesihatan yang boleh mengganggu keselamatan.
“Utamakan keselamatan diri dan jangan ambil risiko yang tidak perlu. Sentiasa menyelam dengan pasangan dan bersedia menghadapi sebarang kecemasan,” tegasnya.-Agensi


