SEORANG murid maut selepas dipercayai dipukul berulang kali menggunakan rotan oleh guru besarnya.
Kejadian pada Sabtu itu bermula selepas mangsa yang berusia 10 tahun, dibawa ke hadapan murid semasa perhimpunan diadakan.
Dia kemudiannya dipukul di kepala, muka dan belakang badan.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah kemudiannya dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Menurut saksi kejadian, mangsa dihukum sedemikian kerana melakukan kesalahan kecil.
Insiden itu berlaku di sebuah sekolah swasta di Jamrud, Pakistan.
Susulan itu, guru besar terbabit ditahan dan disiasat berhubung kematian mangsa.
Pegawai Polis Daerah Khyber, Rai Mazhar Iqbal berkata, keganasan terhadap kanak-kanak dan wanita tidak akan diterima dalam apa jua keadaan.
"Tiada sesiapa yang berhak menyalahgunakan peranan mulia seorang guru untuk melakukan kekejaman seperti itu.
"Seorang guru sepatutnya mendidik, tetapi lelaki ini mencemarkan profesion," ujarnya. -Agensi


