SEORANG pemuda nekad menikam seorang wanita selepas mereka bertengkar mengenai kadar bayaran janji temu di sebuah rumah tumpangan, dalam kejadian pada awal pagi Isnin.
Menurut polis, lelaki berusia 19 tahun itu mengaku tidak mampu membayar kadar penuh yang telah dipersetujui awal bersama wanita berusia 30 tahun itu.
Mangsa dan lelaki itu saling mengenali selepas berkenalan di aplikasi sembang dan bersetuju bertemu di rumah tumpangan di Batam, Indonesia.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Sagulung, Iptu Anwar Aris, mengesahkan bahawa pertemuan tersebut pada awalnya berjalan lancar seperti mana dirancang, namun berubah menjadi pertengkaran apabila isu bayaran dibangkitkan.
"Berdasarkan pengakuan suspek, dia naik marah kerana bergaduh dengan mangsa mengenai kadar bayaran satu temu janji.
"Sebelum mangsa ditikam, berlaku kekecohan dalam bilik itu," kata Anwar.
Kekecohan di dalam bilik mereka telah menarik perhatian pekerja dan tetamu lain di rumah tumpangan berkenaan.
Dalam keadaan marah dan emosional, lelaki itu mengeluarkan pisau yang dibawanya dan menikam mangsa lebih 10 kali.
Jeritan dari bilik mereka berdua menyebabkan pekerja rumah tumpangan datang membuat pemeriksaan, lalu mendapati mangsa parah dan berlumuran darah.
Mangsa segera dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
“Suspek mengaku membawa pisau sebagai langkah berjaga-jaga tapi dia hilang kawalan kerana marah. Selepas kejadian, dia cuba lari tetapi berjaya ditahan oleh penduduk dan diserahkan kepada polis,” kata Anwar.-Agensi


