suria

Malaysia-Indonesia Setuju Promosi Talian Nur 15999

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia bersetuju mempromosi Talian Nur 15999 untuk tenaga kerja Indonesia di Malaysia dalam rangka memperluaskan program kerjasama bidang pembangunan wanita dan keluarga tahun depan.

Talian hotline yang diperkenalkan pada tahun 2007 untuk mangsa penderaan domestik di Malaysia itu telah diperluas kepada tenaga kerja Indonesia sejak November tahun lepas berikutan kes penderaan yang dilapor di kalangan pembantu rumah Indonesia di Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur berkata selain aktiviti itu, lima program kerjasama lain yang akan dilaksanakan termasuk lawatan pertukaran pengalaman aktiviti kredit mikro, khususnya untuk ibu tunggal.

"Kita juga bersetuju untuk mengadakan pertukaran hasil kajian dan maklumat, termasuk data dan pengalaman, dalam isu bidang kanak-kanak, wanita dan keluarga dan pertukaran maklumat dan pembinaan kapasiti dalam Good Governance Practice," katanya dalam kenyataan sempena mesyuarat kumpulan kerja bersama bidang pembangunan wanita dan keluarga di sini.

Mesyuarat yang berlangsung Isnin itu dipengerusikan bersama oleh Noorul Ainur dan Setiausaha Eksekutif Kementerian Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak Indonesia, Sri Danti.

Dua lagi program yang akan diadakan tahun depan ialah dialog dasar berkaitan Pelan Tindakan Arus Perdana Gender dengan pihak Indonesia bagi membantu Malaysia menyediakan pelan tindakan berkenaan serta penyediaan cadangan fokus atau bidang kemahiran yang dapat dipelajari kedua-dua pihak dalam kraftangan bagi menjana pendapatan golongan yang memerlukan, khususnya ibu tunggal.

Mesyuarat kumpulan kerja bersama itu bertujuan menilai pencapaian aktiviti serta program kerjasama antara Malaysia dan Indonesia yang diadakan pada tahun 2009 dan 2010 di samping merangka program baru bagi 2011.

Turut serta dalam delegasi Malaysia bersama Noorul Ainur pada mesyuarat itu ialah lima pegawai kanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN).

Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia diwakili Setiausaha Kedua (Hubungan Dua Hala dan Kerjasama Serantau) Riaz Abdul Razak yang hadir sebagai pemerhati. - BERNAMA

Artikel Lain