suria

Jemaah Haji Malaysia Disaji Makanan Lazat, Berkhasiat

MADINAH: Jemaah haji Malaysia yang menunaikan ibadah haji bagi tahun 1431 Hijrah ini disediakan makanan yang lazat, berkhasiat dan bersih selama mereka berada di tanah suci Makkatul Mukarramah dan Madinah Al Munawarah.

Ketua Operasi Catering Madinah 1431 Hijrah, Mohamad Noor Arshad berkata tiga aspek itu penting agar makanan yang diambil jemaah dapat membekalkan tenaga bagi menjamin kesihatan mereka berada pada tahap terbaik untuk menunaikan ibadah.

Katanya tanggungjawab penyediaan makanan kepada kira-kira 26,000 jemaah Malaysia itu di Madinah dan di Mekah dipikul oleh TH Global & Services, anak syarikat milik Lembaga Tabung Haji (TH).

"TH Global membawa khas lima orang tukang masak dari Malaysia diketuai Zainal Abidin Zakaria ditempatkan di Hotel Al Haram (zon 1) bagi menyedia makanan kepada lebih 2,400 jemaah pada satu-satu masa.

Empat lagi tukang masak termasuk seorang ketua ditempatkan di Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick (zon 2)," kata Mohammad Noor kepada pasukan media TH yang diberi peluang meninjau penyediaan makanan untuk jemaah haji Malaysia di Hotel Al Haram pada Jumaat.

Tinjauan mendapati bahan-bahan mentah yang disediakan adalah segar manakala dapur bersih dan pihak hotel memberi kerjasama mengurus bahan-bahan masakan.

Mohammad Noor berkata semua tukang masak diberi suntikan pencegahan penyakit seperti tifoid dan suhu bahan mentah diperiksa mengikut jadual bagi menjamin kesegarannya.

Zainal Abidin pula berkata dua menu disediakan setiap hari untuk seminggu dan menu berlainan pada minggu berikutnya yang menggabungkan kepakaran chef tempatan dan Malaysia.

"Makanan yang disediakan mengikut cita rasa Malaysia mengikut kehendak TH untuk memberi kepuasan keapda jemaah," katanya dan menambah beberapa Pegawai Penjagaan Kualiti disediakan bagi memastikan makanan disajikan kepada jemaah mengikut piawaian ditetapkan.

Seorang wakil jemaah haji yang membuat tinjauan itu bersama media, Mohd Amin Ahmad mengakui makanan yang disediakan berkualiti, memuaskan hati dan memenuhi selera jemaah.

"Saya yakin dengan makanan yang disediakan. Cara penyediaannya juga bersih. Kira bagus dan oklah," katanya selepas selesai tinjauan itu.

Menurut Zainal Abidin pusat penyediaan makanan lebih besar akan dibuka di Mekah bagi menampung keperluan jemaah haji yang akan memasuki Kota Mekah mulai awal pagi esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain