suria

Baju Merah Anjur Perhimpunan Aman Dari Bangkok Ke Ayutthaya

BANGKOK: Penunjuk perasaan antikerajaan kumpulan Baju Merah merancang menganjurkan perhimpunan aman di sini yang akan bergerak ke Ayutthaya Ahad ini bagi mendesak kerajaan Thailand membebaskan semua rakan mereka yang ditahan.

Penunjuk perasaan dari wilayah utara akan mula bergerak ke Ayutthaya, Sabtu dan berada di sana sehingga Ahad.

Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Nasional Thawil Pliensri berkata mereka dibenarkan berhimpun di Ayutthaya, kira-kira 70 kilometer dari sini, selagi ia dilakukan secara aman, walaupun ibu kota masih diletakkan di bawah perintah darurat.

Beliau tidak menjangkakan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku kerana perhimpunan itu merupakan satu simbolik.

Minggu lepas, Baju Merah telah menganjurkan perhimpunan serupa di ibu kota bagi tujuan yang sama.

Kira-kira 400 penyokong dan pemimpin Baju Merah masih ditahan selepas pihak tentera melancarkan gerakan untuk menyuraikan tunjuk perasaan jalanan mereka yang berlangsung selama 67 hari, pada 19 Mei lepas di ibu kota.

Sembilan belas orang daripada mereka berdepan tuduhan melakukan keganasan, manakala selebihnya ditahan kerana melanggar perintah darurat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain