suria

Jemaah Haji Malaysia Contoh Terbaik - Muasasah

MADINAH: Malaysia menjadi contoh terbaik kepada negara lain dalam mengurus dan mendidik jemaah haji yang sekaligus melicinkan pihak Muasasah memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan.

Berikutan itu, Pengerusi Majlis Muasasah Ahliya Adilla bagi Asia Tenggara di Madinah Dr Yusof Ahmad Hawala mengucapkan tahniah kepada Tabung Haji (TH) kerana sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatan dan mutu jemaah haji seiring peningkatan khidmat oleh Muasasah setiap tahun.

"Pada pandangan dan pemerhatian saya, jemaah Malaysia berkualiti hasil pendidikan yang diberi sebelum mereka datang menunaikan rukun Islam kelima itu," katanya dalam wawancara dengan pasukan media TH yang membuat liputan musim haji 1431 Hijrah di pejabatnya di sini Jumaat.

Beliau berkata perkhidmatan Muasasah adalah menyeluruh meliputi penempatan, perjalanan dan pengangkutan sehingga jemaah selesai menunaikan haji dan meninggalkan Mekah.

Wawancara itu dibantu pengurus Ibadat dan Ziarah TH Razali Zakaria dan pegawai pejabat Konsul Haji Malaysia di Jeddah, Asad Isa selaku perantara/penterjemah.

Muasasah mempunyai lebih 3,800 petugas sepanjang musim haji yang ditempatkan di terminal imigresen dan lapangan terbang, Bir Ali (tempat miqat jemaah sebelum memasuki Mekah untuk menunaikan umrah), maktab (tempat penginapan) dan kawasan Masjidil Haram.

Mengenai Muasasah yang diletakkan di bawah Kementerian Haji Arab Saudi, Dr Yusof berkata penubuhannya pada 1405 dibuat atas kehendak kerajaan apabila mendapati jumlah rombongan haji meningkat setiap tahun.

"Pada awalnya cuma 200 keluarga terbabit menguruskan kemasukan jemaah haji dari negara-negara asing. Untuk memberi perkhidmatan menyeluruh dan seragam dari mula masuk sehingga mereka keluar, Muasasah diberi peranan dan tanggungjawab itu.

"Selepas Muasasah ditubuhkan, perkhidmatannya bertambah baik dan berbeza setiap tahun," katanya.

Jemaah haji Malaysia akan mula memasuki kota Mekah secara berperingkat mulai Ahad ini. Sehingga hari ini kira-kira 6,000 jemaah telah berada di Madinah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain