suria

MALCON ISAF Mampu Hadapi Halangan Awal Misi Bantuan Di Afghanistan

QATAR: Masalah kekurangan air bersih yang boleh mengakibatkan pelbagai penyakit berjangkit, menjadi halangan awal anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjayakan misi Bantuan Keselamatan Antarabangsa Kumpulan Induk Kontinjen Malaysia (MALCON ISAF) di bumi Bamyan, Afghanistan. Namun, ia tidak menggugat usaha murni Malaysia sebagai sebuah negara bukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang menerima jemputan Afghanistan bagi melaksanakan Operasi Interim Bantuan dan Sokongan Nasional (Op INSAF) ke negara itu.

Pengarah Operasi Media, Bahagian Operasi Informasi Operasi J-7 Markas Angkatan Bersama (MK AB) Lt-Kol Salawati Yahaya berkata seramai 30 anggota ATM termasuk tujuh anggota wanitanya yang berangkat ke negara itu malam tadi, sudah bersedia dalam menghadapi sebarang risiko bagi melaksanakan misi bantuan itu.

"Kita sedar wujudnya halangan dalam meningkatkan taraf kesihatan penduduk di wilayah Bamyan. Namun, kita yakin dapat mengatasinya dengan fokus utama adalah dengan membantu paramedik tempatan seperti memberi latihan dalam pendidikan kesihatan, alam sekitar dan kesihatan umum," katanya.

Salawati berkata kesungguhan tentera Malaysia itu akan turut teruji apabila adanya perbezaan budaya yang tidak membenarkan paramedik lelaki dan bukan muhrim untuk merawat pesakit wanita. "Oleh yang demikian, tujuh anggota wanita ATM yang terlatih akan digerakkan bagi menjayakan misi bantuan ini," kata Salawati. Beliau berkata misi itu juga mendapat kerjasama daripada Pasukan Pembangunan Wilayah dari New Zealand (PRT) bagi membentuk koordinasi berpasukan yang turut berperanan meningkatkan sistem klinik kesihatan yang sedia ada di wilayah itu.

"Jangka hayat penduduk Bamyan secara puratanya pada umur 43 tahun sahaja ekoran penduduk tempatan mengalami pelbagai penyakit yang boleh menyebabkan kematian seperti batuk kering, malaria dan taun.

"Dengan adanya misi ini, penduduk Bamyan diharap mendapat lebih imunisasi bagi melawan penyakit tersebut," katanya.

Kumpulan Induk MALCON ISAF itu akan bertugas di Afghanistan antara enam dan sembilan bulan bagi membantu membina serta membangunkan semula negara itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Gempa Bumi Lemah Di Davao

Artikel Berikut

Artikel Lain