suria

Drama Serangan Puak Pemisah di Parlimen Chechnya Berakhir

GROZNY: Drama serangan puak pemisah di bangunan Parlimen Chechnya di sini awal pagi Selasa berakhir dengan pihak berkuasa tempatan berjaya mematahkan percubaan menawan ahli-ahli parlimen daerah berkonflik dan paling ganas dalam sejarah moden Rusia itu.

Menurut pihak berkuasa, mereka mengenalpasti sekurang-kurangnya empat anggota bersenjata menyerbu masuk ke bangunan parlimen di tengah-tengah ibu kota Chechen ini lalu membunuh empat orang sekaligus mencetuskan kebimbangan akan berlaku penahanan secara besar-besaran ke atas ahli-ahli politik tempatan.

Bagaimanapun, percubaan mereka berjaya dipatahkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Berdasarkan laporan beberapa agensi berita antarabangsa, kesemua anggota bersenjata itu sama ada berjaya ditembak mati atau meletupkan diri sendiri.

Jurucakap Parlimen Chechen, Zelim Yakhikhanov, memberitahu AFP, ahli-ahli parlimen mendengar beberapa bunyi tembakan dan meloloskan diri ke aras tiga bangunan tersebut dan bersembunyi di sana sehingga segala-galanya selesai.

Presiden Chechnya yang dilantik oleh Rusia, Ramzan Kadyrov kemudiannya memberitahu agensi berita Interfax, pihak sekuriti Chechen berjaya mengawal keadaan dalam satu operasi selama 20 minit dan berjaya membebaskan ahli-ahli parlimen serta kakitangan parlimen dengan selamat.

Beliau mengesahkan, tiga pengawal keselamatan Kementerian Dalam Negeri terbunuh dalam kejadian itu termasuklah seorang kakitangan awam parlimen.

Sementara itu sebuah agensi berita Rusia melaporkan sekurang-kurangnya dua anggota bersenjata militan telah meletupkan diri mereka selepas dikepung.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Rusia, Rashid Nurgaliyev - yang kebetulan dalam rangka lawatan rasmi ke Grozny - menyifatkan operasi membebaskan para tahanan berjaya dilaksanakan tanpa mengorbankan lebih banyak nyawa malah menegaskan Chechnya adalah stabil dan selamat.

"Sebagaimana biasa, mereka (puak pemisah) gagal. Percubaan mereka telah dihalang oleh pihak berkuasa tempatan," ujarnya.

Presiden Rusia, Dmitry Medvedev kini sedang menghadiri satu persidangan di Perancis dan menurut para pegawai Kremlin, presiden dikemas kini dengan perkembangan terbaru oleh pengarah agensi perisikan Rusia, FSB, Alexander Bortnikov, Nurgaliyev dan Kadyrov sendiri.

Sejak kejatuhan empayar Kesatuan Soviet, Rusia telah berdepan dengan pelbagai percubaan untuk melancarkan pemerintahan sendiri di wilayah bergolak Utara Caucasus yang mana Chechnya adalah sebahagian daripada wilayah tersebut.

Yang paling dahsyat dan paling berdarah ialah peperangan antara tahun 1994-1996 menentang puak pemisah Chechnya.

Bagaimanapun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Chechnya telah menyaksikan satu tempoh yang agak aman di bawah pimpinan Kadyrov, walaupun beberapa serangan kecil muncul dari semasa ke semasa.

Kadyrov sendiri yang merupakan seorang bekas pemberontak bagaimanapun seringkali dikritik oleh badan-badan NGO kerana taktik kerasnya ke atas puak pemisah termasuklah dakwaan menyeksa dan menggunakan pasukan militer yang dibentuknya sendiri untuk mematahkan puak pemisah.

Pada 29 Mac lalu, dua wanita berani mati Chechnya telah meletupkan diri mereka di stesen kereta api metro Moscow membunuh 40 orang awam dan mencederakan lebih seratus orang lagi.

Manakala pada tahun 2004, 330 orang awam yang dijadikan tebusan oleh puak pemisah Chechnya di dalam sebuah sekolah di bandar Beslan di wilayah Caucasus Ossetia telah terbunuh dalam kejadian tembak menembak dengan pihak berkuasa.

Artikel Lain