suria

Gempa bumi di Jakarta: Pekerja bertempiaran selamatkan diri

JAKARTA: Gempa bumi sekuat 7.3 pada Skala Richter yang membawa ancaman tsunami, menggegarkan Pulau Jawa dari pusat gempa di Tasik Malaya hingga ke Bandung dan Jakarta, pada 2.55 petang semalam.

Ancaman tsunami itu dipantau oleh pihak berkuasa Indonesia yang berkaitan dalam tempoh sehingga setengah jam selepas kejadian dan amaran itu ditarik balik pada 3.50 petang semalam.

Gegaran gempa yang sangat kuat itu mengakibatkan puluhan ribu pekerja di bangunan-bangunan tinggi di Jakarta menjadi panik dan bertempiaran lari menyelamatkan diri melalui tangga kecemasan, termasuk di bangunan 20 tingkat Wisma Antara di Jalan Merdeka Selatan.

Walaupun pusat gempa itu pada kedalaman 30km di kedudukan 142km ke barat daya Tasik Malaya, namun gegarannya yang kuat begitu terasa di Jakarta, yang jaraknya terletak hampir 400km.

Setakat ini belum dapat dipastikan tahap kerosakan harta benda atau kemalangan jiwa dan kecederaan akibat gempa itu.

Teriakan "gempa!" dan laungan "Allahuakbar" serta jeritan "cepat, cepat!" kedengaran berulang kali ketika pekerja di Wisma Antara bersesaksesak untuk segera menyelamatkan diri ke luar bangunan.

Wartawan Bernama merasakan gempa kali ini agak lama, mencapai kira-kira lima minit bermula dengan lampu gantung di Dewan Adhiyana di tingkat dua Wisma Antara bergoyang ke kiri dan kanan ketika Menteri Penyelaras Kesejahteraan Rakyat Indonesia Abu Rizal Bakrie sedang berucap pada satu majlis.

Di luar dewan, jelas kedengaran gesekan keras pintupintu kayu dan dalam sekelip mata tibatiba terasa dinding bangunan seperti bergoyang manakala ramai yang tibatiba merasa pening kepala.

Dalam keadaan itu, teriakan "gempa" semakin banyak kedengaran, menyebabkan orang ramai mulai panik dan keadaan menjadi hiruk pikuk apabila mereka melarikan diri melalui tangga kecemasan.

Pekerja yang berada dalam pejabat di tingkat 19 pula berkata pintupintu pejabat terbuka dan tertutup dengan sendiri manakala langsir juga berhayun ke kiri dan kanan, menyebabkan mereka menyedari berlakunya gempa bumi lalu segera menyelamatkan diri.

Ribuan pekerja dan menteri serta kenamaan lain kemudiannya berkumpul sebentar di jalan di luar bangunan. Mereka menjadi panik dan berteriak semula setelah terasa gegaran kedua akibat gempa susulan 5.1 SR kira-kira 3.13 petang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain