suria

Dadah: Tiga lelaki Korea dan lima warga Nepal ditahan

SINGAPURA: Biro Pusat Narkotik Singapura (CNB) telah menahan tiga warga Korea Selatan kerana cuba menyeludup keluar dua kilogram dadah heroin gred bermutu tinggi ke Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi kelmarin.

Heroin Gred 4 itu ditemui disorok dalam kasut yang dipakai oleh tiga lelaki berkenaan yang berusia antara 40 dan 52 tahun, menurut kenyataan CNB semalam.

Turut ditahan ialah lima lelaki warga Nepal berusia antara 23 dan 30 tahun, yang didakwa menyelaras cubaan menyeludup keluar dadah berkenaan.

CNB berkata mereka menerima maklumat mengenai tindakan menyeludup dadah ke Australia dua minggu lepas apabila mendapat berita bahawa seorang penyelaras sindiket dadah dari Nepal berada di Singapura.

Selepas menerima maklumat, CNB melancarkan operasi bersama Jabatan Perisikan Polis Singapura dan akhir minggu lepas mereka mendapat tahu bahawa lelaki Nepal itu akan menggunakan khidmat tiga lelaki Korea Selatan untuk membawa keluar dadah itu.

CNB berkata kesemua lapan suspek itu, yang tidak mempunyai pekerjaan, akan didakwa mengikut Akta Penyalahgunaan Dadah kerana mengeksport dadah terkawal yang membawa hukuman mati. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain