suria

Akhirnya... Adam Adli kekal bebas tuduhan sertai perhimpunan haram

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu membatalkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan melepas dan membebaskan aktivis Adam Adli Abdul Halim daripada pertuduhan menyertai perhimpunan haram #KitaLawan, tiga tahun lalu.

Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin memaklumkan pihaknya menarik balik rayuan yang difailkan pada 4 Disember 2017.

Pada 28 November 2017, Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan Adam Adli di akhir kes pendakwaan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie bagi kes tersebut.

Mengikut pertuduhan, Adam Adli, 29, dan Pengerusi Jingga 13, Mohd. Fariz Abd. Talib @ Musa, 48, didakwa bersama-sama menyertai protes jalanan tersebut bermula di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan berakhir di Esplanade KLCC di sini antara pukul 4 petang dan 7.30 petang, 28 Februari 2015.

Mereka  didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Adam Adli yang diwakili peguam Eric Paulsen ketika ditemui media di luar mahkamah berkata, dia gembira kerana kes ini telah selesai dan memberitahu kini dia sedang menyambung pengajiannya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas enam tahun digantung kerana kes ini.

Adam Adli, bebas


Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi