Jangan bekam bayi, susu ibu adalah yang terbaik! - Doktor - Video | mStar

Jangan bekam bayi, susu ibu adalah yang terbaik! - Doktor

Diterbitkan: Selasa, 16 Oktober 2018 3:42 PM

PETALING JAYA: Video menunjukkan seorang bayi dibekam sebagai rawatan sampingan membuang angin dalam badan yang tular di media sosial mencetuskan pelbagai reaksi netizen.

Gara-gara video tersebut, ramai yang berang dengan tindakan itu sehingga ada yang menyifatkan ia sebagai perbuatan tidak masuk akal.

Menurut pegawai perubatan Sarjana, Dr Afiq Izzudin A. Rahim, rawatan bekam adalah tidak selamat dan tidak boleh dilakukan ke atas kanak-kanak yang berusia 10 tahun ke bawah, terutama bayi yang baru lahir.

"Sehingga kini tiada bukti pun mengenai manfaat atau keberkesanan amalan berbekam untuk bayi.

"Untuk bayi yang baru lahir, susu ibu adalah ubat terbaik sama ada kembung perut atau sakit kuning," katanya ketika dihubungi mStar Online, Selasa.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai bayi yang berbekam, Dr Afiq berkata rawatan bekam hanya boleh dilakukan kepada mereka yang berumur 10 hingga 65 tahun sahaja, dengan syarat-syarat tertentu.

Ia termaktub dalam garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ini bermakna kanak-kanak di bawah umur 10 tahun tidak dibenarkan menerima rawatan bekam berkenaan. Saya juga tidak pernah jumpa lagi kajian yang membolehkan bayi melakukan amalan itu.

"Bagaimanapun, saya tahu ada perawat-perawat alternatif di Indonesia yang menggalakkan amalan ini dilakukan terhadap bayi namun kajian itu agak lemah dan tidak kukuh kerana ia merupakan pendapat peribadi perawat tersebut.

"Rawatan bekam secara umum adalah untuk mengeluarkan darah kotor di dalam badan dan ia hanya berfungsi sebagai rawatan  sampingan (complimentary) dalam perubatan moden, khusus untuk pesakit yang menghidap masalah sendi. Malah, ia juga tidak sesuai dilakukan ke atas seseorang yang sedang demam," katanya.

Sebuah video berdurasi 37 saat menunjukkan seorang bayi berusia 40 hari dibekam mencetuskan kemarahan netizen.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Indonesia, merujuk kepada pertuturan dan dialek individu di dalam video berkenaan.

Berdasarkan video itu, seorang lelaki menyatakan dia membuat bekam ke atas bayi tersebut untuk membuang angin dalam badan.

Individu berkenaan juga mendakwa rawatan bekam ini menyenangkan dan membuatkan bayi itu bertambah selesa.

"Bila tengok balik video itu, posisi cawan bekam yang diletakkan di antara tulang belikat bayi itu tiada kaitan untuk mengeluarkan angin sebaliknya hanya untuk mengurangkan kesakitan pada bahagian atas badan dan tekak," ujarnya.

Selain itu, Dr Afiq yang merupakan salah seorang daripada kumpulan pakar kesihatan MedTweetMy memberitahu rawatan bekam juga memberi risiko penyebaran penyakit berjangkit melalui penggunaan bekas yang tidak disteril atau dibersihkan dengan betul.

"Amalan bekam ini juga memiliki risiko seseorang itu dijangkiti penyakit berjangkit dan jangkitan kuman pada luka.

"Terdapat dua jenis bekam, dry cupping (bekam kering) dan wet cupping (bekam basah).

"Berdasarkan penelitian video itu, mungkin mereka melakukan 'dry cupping' terhadap bayi berkenaan.

"Meskipun dalam video itu bayi berkenaan tidak menangis atau memberi tanda dia sedang sakit, tetapi kita harus faham bekam ini mungkin bersifat invasif.

"Yang paling kita takuti jika bayi ini sudah nyawa-nyawa ikan dan terlambat untuk diselamatkan," katanya.

Sehubungan itu, Dr Afiq menasihati ibu bapa agar tidak mudah percaya dengan maklumat atau informasi yang dikongsikan di media sosial terutama melibatkan kesihatan bayi atau kanak-kanak.

"Jika terdapat masalah kesihatan pada anak-anak, ibu bapa haruslah mendapatkan nasihat dan pemeriksaan di klinik berdekatan.

"Jangan mudah percaya dengan panduan kesihatan yang dikongsikan di media-media sosial dikhuatiri info yang dikongsikan diperolehi daripada individu yang tidak bertauliah.

"Bagaimanapun sehingga kini tiada komplikasi bekam yang membawa kepada kematian," katanya.

Tags / Kata Kunci: bekam , bayi

iklan