RM300,000 Lesap, Mesin ATM Diletupkan Di Jitra

Diterbitkan: Selasa, 26 April 2016 2:17 PM

JITRA: Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik sebuah bank di Pekan Jitra I di sini diletupkan awal pagi Selasa tadi sebelum wang tunai dianggarkan bernilai lebih RM300,000 dilarikan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Abd Rahim Abdullah berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, kejadian berlaku kira-kira 5.04 minit pagi yang  disyaki dilakukan dua individu memakai topeng serta menaiki kereta Toyota Camry.

"Suspek dipercayai menggunakan bom paip sepanjang satu kaki dengan ukur lilit lima inci serta diameter sepanjang satu setengah kaki.

"Ia dilakukan dengan cara menyelitkan bom berkenaan di tempat khas pengeluaran duit di ATM tersebut setelah mengopak bahagian atas dan bawah mesin dengan menggunakan besi," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Polis turut menemui serpihan bom paip sepanjang setengah kaki dan wang tunai RM600 yang bertaburan di atas lantai.

Letupan turut menyebabkan cermin bank pecah dan retak.

Abd Rahim berkata pihak polis percaya kes itu sama dengan kes meletupkan mesin ATM sebuah bank di Simpang Kuala, Alor Setar pada Februari lepas yang turut mengakibatkan kerugian RM300,000.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Devi, 40-an berkata beliau mendengar bunyi letupan yang sangat kuat dari kedainya yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

"Saya sangka orang tembak anjing. Bunyi letupan sangat kuat dan mengejutkan kami semua," katanya. 

Tags / Kata Kunci: ATM , Meletup

iklan