suria

Wajah Putera Jawa video cabaran 'Lathi' curi perhatian negara seberang... Ternyata idea Anas Zahrin bukan kaleng-kaleng!

Anas Zahrin memberitahu dia melakukan cabaran Lathi mahu orang ramai menghargai sentuhan dan bakat jurusolek.

HAMPIR 20 juta reaksi diterima jurusolek dan pengasas produk kosmetik Anas Zahrin sejurus memuat naik video cabaran kontroversi Lathi di Instagram dan Twitter.

Menerusi video berkenaan Anas melakukan transformasi sebagai seorang Putera Jawa seterusnya bertukar sebagai sosok seram dan tindakannya itu mengundang pelbagai reaksi.

Enggan memberi fokus kepada pandangan negatif diterimanya, Anas memberitahu dia gembira apabila video transformasi itu mendapat perhatian dan pujian atas usahanya sehingga ke negara seberang, Indonesia.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwah takut tengok Lathi Challenge, seolah sedang seru sesuatu untuk hadir - “Ada unsur syirik, kurafat seperti memanggil Kuntilanak, roh kuda kepang”

Bahkan penyanyi asal lagu Lathi dari Indonesia iaitu Weird Genius dan Sara Fajira turut memberikan komen membina kepada Anas selain video itu tular di negara seberang.

Tidak ketinggalan selebriti tempatan turut memuji usahanya seperti Datin Diana Danielle, Zulin Aziz, Bella Astillah, Uyaina Arshad dan Nadiyah Shahab.



Video cabaran Lathi yang dilakukan Anas mendapat perhatian selebriti dan netizen Indonesia.

Bukan buat perkara terlarang

Bercakap mengenai transformasi itu, Anas memberitahu apa dilakukan bukan kerana terikut-ikut dengan perkara terlarang sebaliknya ia sekadar hasil seni dan teknik solekan.

Kata Anas, apa diketengahkan adalah untuk menghargai sentuhan dan bakat jurusolek tidak kira sama ada komersial atau pun kesan khas.

“Setiap orang ada pandangan, reaksi dan terjemahan masing masing dalam hal ini. Ia sangat subjektif. Ada yang menerima dan sebaliknya.

“Saya menerima semua komen dengan hati terbuka dan lapang dada. Mengejutkan ramai yang memuji usaha saya menampilkan transisi solekan yang rata rata melihatnya cukup sempurna dan kreatif," katanya.

Dalam pada itu, Anas memberitahu dia melihat terjemahan video cabaran sebagai realiti kehidupan menerusi sosok Putera Jawa yang ditampilkan.

Jelasnya, menerusi cabaran itu dapat menunjukkan sisi baik dalam diri seseorang serta jahat atau 'hantu' sebagai lambang sisi negatif.



Anas terima dengan hati terbuka semua komen diberikan kepadanya.

“Manusia tidak pernah sempurna. Pasti akan ada satu perasaan, rasa nakal, jahat, rasa negatif dalam diri kita yang kita cuba dan sedang lawan supaya tidak menguasai diri kita.

"Syaitan itu benar wujud dan sedaya upaya nak buat kita fikir benda bukan bukan, hasut buat benda tak baik serta nak hancurkan hidup kita semua umat manusia.

"Kedua sisi ini cuba berjuang serta lawan antara satu sama lain. InsyaAllah, jika sisi baik dalam diri kita kuat, cekal juga tabah dan dengan izin kuasa Allah, pasti berjaya lawan semua perasaan negatif dan jahat.

“Kesimpulannya yang saya sendiri buat ialah kita manusia biasa ada sisi baik (positif) dan sisi satu lagi (negatif). Dua sisi itu berperang sesama sendiri. Semoga kita semua menjadi insan positif dan lakukan kebaikan serta beri manfaat kepada orang lain. Terus positif, ” katanya.

Tiga hari siapkan solekan

Bercakap mengenai proses solekan, Anas memberitahu dia mengambil masa tiga hari untuk melakukan cabaran tersebut.

Anas menjelaskan tempoh lama itu terpaksa diambil kerana ia turut melibatkan kesan visual khas selain proses suntingan yang mengambil masa seharian.

“Semua ini takkan dapat direalisasikan dengan khidmat jurusolek profesional artis serta jurusolek profesional kesan khas. Merekalah yang menghidupkan semua ini.

“Malah menerusi cabaran ini juga ramai teman jurusolek bergabung melakukan video transformasi solekan, bila lagi kita nak lihat jurusolek dan jurusolek kesan khas bergabung, lihat dari sudut yang positif” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain