suria

Teruja naik gajah ketika travel, ramai tak sedar terjebak aktiviti penderaan haiwan! Doktor veterinar hurai kesan psikologi, fizikal

Ramai pelancong tidak melepaskan pengalaman eksotik menunggang gajah ketika melancong ke negara jiran. -Gambar hiasan

INSIDEN seekor anak gajah mati digilis sebuah lori dalam kejadian pada pagi Ahad, 11 Mei lalu secara tidak langsung menjadi titik mula yang membuka mata orang ramai mengenai seriusnya ancaman terhadap hidupan liar, terutamanya gajah.

Insiden ini mencetuskan reaksi antara sedih dan marah, tetapi ada juga yang mula mempersoalkan isu lebih besar iaitu kebajikan gajah secara keseluruhan, termasuk dalam industri pelancongan.

Antara topik yang hangat dibangkitkan ialah aktiviti elephant riding, terutamanya di negara-negara jiran seperti Thailand, Myanmar dan Kemboja.

Ramai pelancong termasuk dari Malaysia, masih melihat tunggangan gajah sebagai pengalaman eksotik, namun tidak menyedari kesan jangka panjang terhadap haiwan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Induk gajah alami gangguan emosi, mungkin akan bertindak balas... Pakar saran tutup laluan bermula tengah malam

Menurut doktor perubatan veterinar, Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali, daripada sudut kebajikan haiwan (animal welfare), aktiviti eksploitasi gajah dalam industri pelancongan ternyata menimbulkan banyak kebimbangan yang serius, terutamanya kepada fizikal dan mental haiwan berkenaan.

Alat tajam seperti bullhooks digunakan untuk melatih dan mengawal gajah agar patuh. -Foto media sosial

"Sebagai seorang doktor veterinar, saya percaya adalah penting untuk kita memupuk kesedaran terhadap kesejahteraan haiwan dalam industri pelancongan dan menyokong bentuk interaksi yang lebih beretika dan mesra haiwan," ujarnya kepada mStar

Beliau berkata, elephant riding akan mengakibatkan kesan seperti berikut: 

Kesan terhadap kesejahteraan fizikal gajah:

Masalah tulang belakang - Struktur tulang belakang gajah tidak direka untuk menampung berat di bahagian atas badan, terutama jika membawa pelancong berulang kali dalam sehari. Ini boleh menyebabkan kecederaan jangka panjang.

Penggunaan alat menyeksa - Dalam banyak kes, alat tajam seperti bullhooks digunakan untuk melatih dan mengawal gajah agar patuh, yang boleh mencederakan kulit dan menyebabkan trauma.

Kekangan pergerakan - Gajah sering dirantai dalam jangka masa panjang apabila tidak bekerja, yang boleh menyebabkan masalah otot dan sendi.

Kesan terhadap kesejahteraan mental gajah:

Teknik crush atau 'phajaan' - Banyak gajah yang digunakan dalam industri pelancongan ini telah melalui proses 'mematahkan semangat' sejak kecil melalui penderaan fizikal dan psikologi, bagi menjadikan ia jinak.

Tekanan dan kebosanan - Gajah adalah haiwan sosial yang cerdas. Justeru penahanan dalam persekitaran yang tidak sesuai boleh menyebabkan stereotypic behavior seperti menghayun kepala, menggigit palang, atau pergerakan berulang yang menandakan tekanan mental.

Isolasi sosial - Dipisahkan dari keluarga atau kumpulan memberi kesan besar kepada kesihatan mental gajah.

Kecederaan fizikal yang dialami gajah selain masalah tulang belakang. -Foto media sosial

Tambahnya, terdapat banyak bukti saintifik yang menunjukkan bahawa gajah yang digunakan dalam industri pelancongan seperti elephant riding mengalami tekanan psikologi, fizikal, dan masalah kesihatan jangka panjang. 

Berikut adalah beberapa dapatan kajian yang menyokong perkara ini:

1. Edwards et al. (2019) dalam kajian terhadap gajah di Thailand mendapati paras fecal glucocorticoid metabolites (penanda stres) meningkat apabila gajah dipaksa bekerja berlebihan atau terdedah kepada persekitaran yang bising dan sesak.

2. Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Zoo and Wildlife Medicine mendapati gajah pelancongan menunjukkan kadar kecederaan kaki dan punggung yang lebih tinggi berbanding gajah di kawasan konservasi.

3. Mason & Veasey (2010) melaporkan bahawa tingkah laku stereotaip sangat biasa dalam gajah yang ditahan dalam industri pelancongan, dan sering dikaitkan dengan kurangnya rangsangan mental dan sosial.

4. Kajian oleh Clubb et al. (2008) dalam Science menunjukkan bahawa gajah Asia dalam kurungan (termasuk pelancongan) hidup lebih singkat berbanding gajah liar.

Doktor perubatan veterinar, Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali.

Menghuraikan lebih lanjut, Dr Salehatul Khuzaimah berkata, jika gajah terus dieksploitasi, ia akan memberi kesa jangka panjang terhadap populasi dan kesejahteraan spesies.

"Pertamanya, kadar pembiakan rendah dalam kurungan kerana tekanan dan kekangan semula jadi.

"Kedua, jangka hayat lebih pendek berbanding gajah liar akibat stres kronik dan persekitaran tidak sesuai.

"Ketiga, pemindahan liar-ke-kurungan mengganggu ekosistem liar, kerana banyak gajah ditangkap secara haram untuk dijadikan haiwan pelancongan.

"Gajah adalah haiwan yang sangat cerdas, sosial, dan sensitif. Penggunaan dalam aktiviti hiburan seperti elephant riding, persembahan sarkas atau sesi bergambar memberikan kesan negatif yang serius terhadap kebajikan fizikal dan psikologi," ujarnya lagi.

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia