suria

Laluan Gerik-Jeli ‘potong’ habitat haiwan liar, tak mudah bina ‘animal bridge’

Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli menjadi laluan haiwan liar seperti gajah, harimau dan tapir melintas. -Gambar hiasan

SUSULAN insiden menyayat hati seekor anak gajah jantan mati digilis sebuah lori muatan ayam di Kilometer 80, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada awal pagi Ahad lalu, ramai mula 'buka mata' mengenai laluan berkenaan, terutamanya dari segi infrastruktur yang didakwa kurang diberi perhatian.

Namun, di sebalik pelbagai saranan serta pandangan yang dilontarkan agar tragedi sama tidak berulang, tidak ramai yang tahu asal-usul laluan berhutan di Gerik itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan tak mahu pasang lampu jalan, rupanya ini sebab laluan Gerik-Jeli terus bergelap

Berikut enam fakta mengenai Hutan Gerik untuk pengetahuan kita bersama: 

1. Hutan Gerik ialah hutan hujan tropika asal (primary tropical rainforest) termasuk Royal Belum, sudah wujud lebih 130 juta tahun serta lebih tua daripada hutan Amazon!

2. Merupakan kawasan Hutan Simpan dan Koridor Hidupan Liar Utama Gerik, terletak dalam laluan Central Forest Spine (CFS), iaitu tulang belakang ekologi Semenanjung Malaysia.

3. Permukaan hutan yang lembap dan berbukit menjadikan pembinaan sangat mencabar. Tanah di kawasan ini bersifat lembap sepanjang tahun. Ini bermakna untuk pembinaan jambatan haiwan (animal bridge), perlukan asas lebih dalam dan kuat. 

Pengguna Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli disarankan peka dan berhati-hati ketika menggunakan laluan ini. -Gambar hiasan

4. Jalan Raya Timur-Barat (Gerik–Jeli) 'memotong' habitat haiwan liar menjadi dua. Jalan raya ini laluan maut untuk haiwan besar.

5. Pembinaan lintasan hidupan liar atau dikenali sebagai 'viaduct' sepanjang 200 meter di kilometer 157 Gerik-Jeli telah dibina dengan kos RM26 juta pada 2015 di bawah inisiatif Central Forest Spine (CFS).

6. Kajian pada tahun 2016 mendapati kawasan gajah berkeliaran telah berkurangan sebanyak 68 peratus akibat perubahan guna tanah untuk pertanian, perladangan, pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan penempatan. 

Berdasarkan rekod Jabatan Perhilitan, 4,919 aduan konflik manusia dan gajah telah dilaporkan bagi tempoh 2020 hingga 2024.

Sementara itu, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, sebanyak lapan ekor gajah direkodkan mati akibat 'roadkill' di Semenanjung Malaysia termasuk tiga daripadanya berlaku dalam tahun ini saja. 

Kesimpulannya, perancangan serta penyelikan yang rapi dari pelbagai aspek perlu dilakukan untuk menjaga keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam sekitar, terutamanya apabila melibatkan kawasan hutan simpan dan habitat haiwan liar. 

Artikel Lain