PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen sebanyak 4.05 peratus bagi Skim Simpan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun kewangan 2024, kadar tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebanyak RM439.87 juta diperuntukkan untuk agihan dividen itu, yang akan memberi manfaat kepada 6.77 juta akaun pendeposit.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen sejak skim ini diperkenalkan pada 2004 mencecah RM2.12 bilion.
Menurut beliau, kadar dividen tahun ini lebih tinggi berbanding 3.60 peratus pada 2023, hasil strategi pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, pengurusan risiko yang berkesan serta pemilihan portfolio pelaburan yang strategik dalam simpanan tetap jangka panjang dan sukuk telah berjaya meningkatkan pulangan pelaburan.
"Pemberian dividen Simpan SSPN pada kadar 4.05 peratus ini juga menunjukkan pulangan bersih pelaburan yang positif jika dibandingkan dengan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) yang ditetapkan oleh Bank Negara yang kekal pada kadar 3.0 peratus sepanjang tahun 2024," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: PTPTN umum dividen Simpan SSPN 3.60 peratus bagi 2023, manfaatkan 6.25 juta pendeposit
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2024 dan Pelancaran Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2025 di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Putrajaya.
Turut serta pada majlis itu adalah Timbalan Menteri KPT, Datuk Mustapha Sakmud, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Prestasi Simpan SSPN 2024 cemerlang
Pada 2024, Simpan SSPN mencatatkan prestasi yang memberangsangkan dengan jumlah deposit sebanyak RM3.17 bilion, meningkat 0.77 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Lebih 500,000 akaun baharu juga telah dibuka, menjadikan jumlah deposit terkumpul sehingga 31 Disember 2024 sebanyak RM20.56 bilion.

Zambry (dua dari kiri) menyempurnakan gimik Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2024 dan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SPN Prime 2025.
Sempena majlis pengumuman dividen Simpan SSPN bagi 2024, PTPTN turut melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2025 dengan kadar ganjaran 1 peratus.
Ia merupakan ganjaran tambahan bagi pendeposit yang menyimpan secara konsisten sejak 2004 hingga 31 Disember 2021.
Ganjaran Kesetiaan ini akan dinikmati oleh pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan minimum RM1,000 dalam tempoh kempen antara 1 Mei hingga 31 Julai 2025.
Kempen ini memasuki tahun keenam sejak mula diperkenalkan pada 2019.
Simpan SSPN turut menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000, patuh syariah serta simpanan dijamin oleh kerajaan.
Pendeposit boleh membuat semakan penyata akaun simpanan masing-masing melalui aplikasi myPTPTN mulai 2 Mei 2025.
Maklumat lanjut, sila layari portal rasmi PTPTN https://www.ptptn.gov.my/simpan-sspn/


