suria

Detik cemas kereta EV tiba-tiba brek mengejut di lorong kanan, jurutera kongsi pandangan - “Empat tayar seperti dikunci”

Kereta EV yang dinaiki sebuah keluarga berhenti secara mengejut di lorong kanan di Lebuhraya Cheras-Kajang, 1 Mei lalu. -Foto FB Nur Afifah Abdul Rahim

KECOH di laman sosial kisah sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila kereta elektrik yang dinaiki tiba-tiba brek secara mengejut ketika sedang dipandu di lorong kanan Lebuh Raya Cheras-Kajang pada 1 Mei lalu.

Menerusi hantaran di Facebook, isteri kepada pemilik kenderaan model BYD Atto 3 itu, Nur Afifah Abdul Rahim, berkata insiden tersebut berlaku mengejut tanpa sebarang amaran atau indikator.

"Di skrin kereta hanya tertera 'Power System Failure' sebelum keempat-empat tayar tidak bergerak seperti dikunci.

"Beberapa kereta hampir kemalangan kerana mengelak daripada merempuh kereta kami yang tiba-tiba berhenti di lorong kanan," tulisnya.

Tambahnya, selepas menghubung pusat servis, dia dan suaminya diberitahu bahawa bateri 12V kenderaan itu bermasalah dan perlu diganti.

ARTIKEL BERKAITAN: Mekanik bongkar tabiat buruk pemandu, punca kereta cepat rosak... Brek mengejut paling ramai buat!

Lebih membuatkan mereka kecewa, pusat servis memaklumkan bahawa kereta itu sememangnya tidak akan mengeluarkan sebarang amaran sekiranya berlaku kerosakan pada bateri 12V.

Difahamkan, kerosakan tersebut berlaku ketika usia kereta mereka baru mencecah 10 bulan.

Perkongsian Nur Afifah mengundang perhatian ramai yang bukan saja melontarkan simpati, malah meluahkan kebimbangan sekiranya insiden sedemikian menimpa orang lain.

Dalam pada itu, seorang jurutera yang banyak membuat perkongsian mengenai kereta elektrik, Hafiy Hazmi, turut membuat ulasan mengenai insiden berkenaan.

Kebanyakan kereta elektrik boleh dicas menggunakan pengecas biasa di rumah atau pengecas pantas di stesen pengecas awam. -Gambar hiasan

"Walaupun kereta EV, sistem elektronik kereta still bergantung kepada battery 12V tu. Jadi kalau battery 12 V tu fail, memang kereta EV tak boleh bergerak. 

"Warranty battery 12V hanya 20,000 kilometer (km). Mana-mana brand termasuk Perodua pun mempunyai tempoh warranty yang sama. 

"Kereta BYD ada sistem untuk mengesan jika battery 12V tu low voltage atau dah semakin weak. Maksudnya kereta ini mungkin ada masalah lain yang perlu dibaiki, sebab itu dealer tak boleh release terus kereta," tulisnya lagi.

Menerusi perkongsian di laman ActualidadMotor, terdapat tiga punca kerosakan bateri kereta elektrik, iaitu: 

Suhu tinggi 

Terutamanya pada musim panas, boleh merosakkan bateri. Bateri ion litium tidak dapat bertahan pada suhu melampau, dan ia berfungsi paling baik pada suhu antara 20 hingga 25°C. Pada suhu melebihi 45 hingga 50°C, komponen elektronik bateri cepat rosak, mengurangkan prestasi pengecasan.

Pengecasan pantas

Pengecasan pantas boleh mengurangkan hayat bateri jika digunakan secara kerap. Pengecasan pantas menghasilkan haba berlebihan yang mempengaruhi sel bateri dan kabel elektrik. Disarankan untuk mengecas antara 20 peratus hingga 80 peratus kapasiti dan elakkan pengecasan pantas jika tidak perlu.

Degradasi bateri mengikut penggunaan

Seperti mana-mana bateri, bateri kereta elektrik akan mengalami degradasi dari semasa ke semasa. Jaminan bateri biasanya sekitar lapan tahun atau 150,000 kilometer dengan 70 peratus hayat asal. Kemerosotan ini biasanya berlaku sekitar 2 peratus hingga 3 peratus setiap tahun, yang boleh mengurangkan kapasiti sebanyak 25 hingga 30 peratus dalam tempoh 10 tahun. 

Artikel Lain