suria

4 manfaat simpan resit pembelian, dokumen percukaian dengan selamat... bukan sekadar bukti jika diperiksa LHDN

Banyak manfaat tersedia buat mereka yang menyimpan resit serta dokumen percukaian dengan selamat.

MENJELANG Mac ini, ramai akan mula menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengisi Borang Nyata Cukai bagi Tahun Taksiran 2022.

Seperti biasa, pasti ramai yang akan pening kepala apabila resit-resit dan dokumen berkaitan pelepasan cukai mereka hilang atau sudah lusuh kerana tidak disimpan rapi.

Tahukah anda, tanggungjawab menyimpan semua dokumen percukaian ini bukan sahaja termaktub dalam undang-undang, malah ia dapat memberi manfaat kepada pembayar cukai sekiranya disimpan dengan rapi.

Berikut dikongsikan manfaat buat pembayar cukai sekiranya mereka mengamalkan tabiat menyimpan semua dokumen percukaian dengan baik dan selamat.

1. Mematuhi undang-undang cukai

Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) memang ada menyatakan dengan jelas bahawa setiap dokumen percukaian hendaklah disimpan dengan selamat sekurang-kurangnya untuk tempoh tujuh tahun. Ketetapan ini diperuntukkan menurut seksyen 82 dan 82A ACP 1967 dan kegagalan untuk mematuhi peruntukan dalam akta ini merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan denda atau penjara untuk suatu tempoh tertentu.

Sudah pasti anda tidak mahu mengalami semua masalah ini, justeru ikutlah nasihat ini dan simpanlah semua dokumen percukaian dengan teratur dan selamat.

2. Memudahkan urusan pengiraan cukai

Sebelum pembayar cukai mengisi Borang Nyata Cukai, mereka akan membuat pengiraan cukai yang perlu bayar terlebih dahulu. Tujuannya ialah untuk memastikan semua perbelanjaan dan pelepasan cukai telah diambil kira sebelum ia dikunci masuk ke dalam borang cukai elektronik atau e-Filing.

resit

Simpan segala resit dengan rapi untuk rujukan pada masa akan datang.

Berdasarkan pengalaman, kesilapan sering berlaku apabila pembayar cukai tidak bersedia dari awal dengan pengiraan cukai, resit-resit dan dokumen-dokumen percukaian sehingga ketika mengisi e-Filing mereka akan terlupa mengambil kira perbelanjaan dan pelepasan yang layak mereka tuntut. Akibatnya, amaun cukai yang mereka kena bayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjadi lebih tinggi kerana jumlah perbelanjaan dan pelepasan cukai yang mereka isi dalam e-Filing adalah rendah daripada yang sepatunya.

Keadaan ini pasti merugikan pembayar cukai kerana mereka telah membayar amaun cukai yang lebih daripada yang sepatutnya kepada kerajaan.

3. Mudahkah urusan semakan semula oleh LHDN

Penyimpanan rekod yang kemas, teratur dan selamat juga akan membantu pembayar cukai mengemukakan bukti perbelanjaan dan pelepasan cukai tersebut adalah sahih apabila ia diperlukan oleh LHDN.

Dalam Sistem Taksir Sendiri, LHDN akan menerima setiap pelaporan cukai daripada pembayar cukai secara suci hati. Maknanya, agensi itu tidak meragui setiap pelaporan cukai yang dibuat oleh pembayar cukai sehinggalah didapati ada keraguan yang munasabah pada pelaporan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Apa azam tahun baharu? Jangan lupa selesaikan tunggakan cukai, ketahui 6 perkara penting ini

Jika itu berlaku maka pegawai LHDN akan menghubungi pembayar cukai dan memohon pembayar cukai untuk mengemukakan bukti perbelanjaan atau pelepasan cukai yang dituntut dalam Borang Nyata Cukai mereka.

Tujuan proses ini dilakukan adalah untuk proses semakan semula dan mengesahkan kesahihan tuntutan tersebut. Dalam hal ini pembayar cukai tidak perlu bimbang kerana selagi semua resit dan dokumen percukaian berjaya dikemukakan dan perbelanjaan serta pelepasan cukai yang dituntut dapat dibuktikan kesahihannya, maka LHDN akan menerimanya tanpa mengenakan taksiran tambahan mahupun penalti. Oleh kerana itulah pentingnya semua dokumen percukaian ini disimpan dengan teratur.

file7do3b7iwlhxuae5a5k7

Kesilapan sering berlaku apabila pembayar cukai tidak bersedia dari awal dengan pengiraan cukai, resit-resit dan dokumen dokumen percukaian mereka.

4. Membantu pembayar cukai membuat semakan semula dan memohon pengurangan cukai.

Manfaat ini paling seronok dan sering tidak disedari oleh pembayar cukai. Tujuan dokumen cukai disimpan sebenarnya bukan untuk membantu urusan LHDN semata-mata, sebaliknya ia juga bagi memberikan peluang kepada pembayar cukai meneliti semula pelaporan cukai yang telah mereka buat sebelum ini.

Jika pembayar cukai mendapati mereka telah tersalah lapor amaun perbelanjaan atau pelepasan yang menyebabkan mereka rugi kerana terpaksa membayar cukai yang lebih tinggi, mereka sentiasa dialu-alukan untuk menghubungi LHDN bagi urusan semakan semula sekali gus bakal menikmati pengurangan cukai.

Maka mulai hari ini amalkan tabiat untuk menyimpan semua dokumen percukaian dengan teratur dan selamat. Ia banyak memberi manfaat kepada pembayar cukai, malah kaedah penyimpannya juga tidaklah rumit kerana dokumen-dokumen tersebut boleh disimpan dalam bentuk salinan cetak (hard copy) ataupun salinan digital (soft copy).

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada HASiL melalui:

a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/ 603-8911 1100 (Luar Negara); b) HASiL Live Chat; dan

c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain