suria

Apa azam tahun baharu? Jangan lupa selesaikan tunggakan cukai, ketahui 6 perkara penting ini

Menjelang tahun baharu, anda perlu menyemak kedudukan cukai terkini agar tidak terbeban pada masa akan datang.

MELANGKAH ke tahun 2023, pastinya tidak lengkap tanpa azam baharu untuk memperbaiki kehidupan yang lebih baik.

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita juga diingatkan agar memulakan tahun baharu dengan melunaskan segala tunggakan cukai.

Harus diingatkan juga bahawa manfaat cukai itu adalah untuk semua.

Berikut mStar kongsikan enam perkara penting yang perlu anda ketahui mengenai cukai menjelang tahun baharu:

1. Tunggakan cukai bebankan diri

Tahukah anda, kegagalan membayar cukai dalam tempoh yang sepatutnya akan mengakibatkan berlakunya tunggakan?

Mungkin ada yang terlupa, tidak mampu membayar sekali gus atau memang sengaja mengabaikannya.

Namun harus diingat, tunggakan ini sama seperti hutang. Ia boleh memberi kesan negatif kepada yang terlibat. Ibaratnya, semakin banyak jumlah cukai tertunggak, semakin tinggi kenaikan cukai.

Bukan itu sahaja, rancangan anda untuk bercuti ke luar negara juga akan terbatal tanpa rela apabila dihalang keluar negara oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Paling menakutkan sekiranya anda dihadap ke mahkamah atas kesalahan itu. Bukan itu sahaja, duit simpanan di dalam bank, saham, barang kemas, rumah dan apa sahaja milik anda juga boleh disita atau dilelong. Seram kan?

Pasti anda tidak mahu semua itu berlaku. Jadi, pastikan anda membayar tunggakan cukai (sekiranya ada) selewatnya pada 30 Disember 2022 menerusi perkhidmatan dalam talian, ByrHASiL yang disediakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

2. Ambil peduli undang-undang cukai

Orang kata, beringat dulu sebelum kena. Kesan buruk akibat kegagalan membayar tunggakan cukai boleh dielakkan sekiranya anda mengambil peduli peruntukan undang-undang cukai yang ditetapkan kerajaan.

LHDNM menggunakan konsep pematuhan cukai menerusi kesedaran, pendidikan dan perkhidmatan.

LHDNM menggunakan konsep pematuhan cukai menerusi kesedaran, pendidikan dan perkhidmatan.

Undang-undang memperuntukkan individu yang menerima pendapatan penggajian untuk membayar cukai tahunan selewatnya pada 30 April setiap tahun dan 30 Jun bagi individu yang berniaga.

Bagi syarikat pula, wajib membayar semua jumlah cukai dalam tempoh tujuh bulan selepas tarikh tutup tempoh perakaunan syarikat.

3. Pelajari ilmu asas percukaian

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita perlu menambah ilmu asas percukaian dan membuang tabiat buruk yang enggan melapor dan membayar cukai kepada LHDNM.

Pentingnya ilmu percukaian kepada semua menjadikan LHDNM menggunakan konsep pematuhan cukai menerusi kesedaran, pendidikan dan perkhidmatan.

Selain itu, LHDNM menawarkan pelbagai program untuk mendidik masyarakat bermula di peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi kerana golongan ini merupakan bakal pembayar cukai yang perlu dididik lebih awal tentang kepentingan cukai.

Lebih menarik, banyak medium yang boleh dijadikan rujukan termasuklah menerusi portal rasmi LHDNM atau apa sahaja maklumat yang terbukti kesahihannya di internet.

Sebagai contoh, anda boleh mendapatkan risalah dan artikel berkaitan percukaian menerusi platform EduZone di www.hasil.gov.my.

Rujukan juga boleh dibuat menerusi platform media sosial rasmi LHDNM dan portal-portal firma percukaian bertauliah yang pakar dalam bidang percukaian.

Yang penting, pastikan anda rujuk maklumat tepat dan diiktiraf supaya tidak tersesat dalam menuntut ilmu percukaian.

4. Rujuk kepada pakar

Selain maklumat yang tersedia di hujung jari, mereka yang mempunyai kemusykilan mengenai cukai boleh menghubungi LHDNM untuk maklum balas dan khidmat nasihat.

Jadilah rakyat bertanggungjawab dengan membayar tunggakan cukai.

Jadilah rakyat bertanggungjawab dengan membayar tunggakan cukai.

Pusat Panggilan LHDNM iaitu HASiL Care Line di talian 03-89111000 atau 603-89111100 (luar negara) boleh dihubungi setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang kecuali Sabtu dan Ahad.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh menghubungi pegawai-pegawai perhubungan awam mengikut lokasi terdekat menerusi nombor telefon bimbit rasmi yang disiarkan dalam Portal Rasmi LHDNM.

Bagi memudahkan lagi urusan orang ramai, LHDNM juga mengikuti trend semasa apabila menyediakan pelbagai saluran komunikasi lain seperti HASiL Live Chat, Facebook, Twitter, Instagram dan Borang Maklum Balas Pelanggan.

5. MyTax bantu semak kedudukan cukai terkini

Menjelang tahun baharu, anda perlu menyemak kedudukan cukai terkini agar tidak terbeban pada masa akan datang.

Jangan risau, LHDNM ada menyediakan kaedah semakan yang mudah secara dalam talian iaitu MyTax, aplikasi yang membolehkan anda membuat semakan, mengisytihar dan mendapatkan informasi terkini cukai.

Malah, semakan tunggakan atau lebihan bayaran cukai boleh dibuat di https://mytax.hasil.gov.my/ yang memaparkan jumlah tunggakan cukai atau lebihan bayaran cukai selepas mengambil kira taksiran, bayaran dan lain-lain bagi tahun taksiran yang sama.

Sekiranya masih kurang jelas, hubungi Unit Pungutan di Cawangan yang mengendalikan fail anda atau hubungi Hasil Care Line. Penyata kedudukan cukai boleh dicetak menerusi aplikasi e-Lejar yang juga boleh dicapai di MyTax.

6. Bincang ansuran cukai

Setiap individu mempunyai kemampuan kewangan yang berbeza-beza. LHDNM juga memahami bahawa tidak semua mampu membayar cukai dalam jumlah besar sekali gus.

Prihatin dengan situasi itu, LHDNM terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi permohonan bayaran secara ansuran.

Kelulusan bayaran ansuran akan dipertimbangkan sekiranya anda menyediakan dokumen berkaitan seperti penyata aliran tunai bulanan, penyata bank beberapa bulan terkini, senarai komitmen bulanan dan bilangan ansuran yang diinginkan.

Sekiranya anda mampu merancang dan mengurus dengan bijak, pastinya anda tidak akan mengalami tunggakan cukai.

Ayuh sama-sama bantu kerajaan untuk melaksanakan pelbagai kemudahan, program pembangunan serta kebajikan rakyat dengan menjadi pembayar cukai yang patuh.

Ingat, pastikan tunggakan cukai (sekiranya ada) dibayar selewatnya pada 30 Disember 2022.

Bagi yang mahu mendapatkan bayaran balik cukai, pastikan anda menuntut pelepasan-pelepasan cukai yang layak semasa mengisi e-Filing pada tahun hadapan.

Diingatkan juga untuk menyimpan resit-resit perbelanjaan tahun 2022 bagi tujuan pelepasan cukai tersebut bagi memudahkan anda membuat rujukan nanti.

Lapor dan bayar cukai kerana Andalah Wira Negara. Maklumat lanjut boleh layari www.hasil.gov.my

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain