suria

Warga emas tak patut takut bersenam... mampu kuatkan jantung, bantu peredaran darah

Sekumpulan warga emas melakukan senaman tai chi. Foto: Zhafaran Nasib/The Star

MUNGKIN ada yang beranggapan, golongan warga emas tidak perlu melakukan senaman kerana ia aktiviti yang memerlukan tenaga atau berisiko untuk tercedera.

Tanggapan sebegini sebenarnya tidak tepat.

Mereka yang berada di usia emas harus melakukan aktiviti fizikal dengan kerap agar boleh mendapat manfaat daripada menggabungkan latihan kekuatan otot dalam rutin senaman harian.

Bukan sahaja membina kekuatan otot tetapi juga boleh mengatasi masalah kelesuan dan kelemahan badan yang dialami oleh warga emas seiring dengan penuaan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Ambil iktibar kes Jasmin Hamid kena serangan jantung... Kenali tanda-tanda dan simptom, ia boleh selamatkan nyawa!

Menurut Pakar Perunding Pembedahan Ortopedik dan Trauma, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Ng Swee Soon, walaupun warga emas mungkin mengalami pelbagai masalah ortopedik seperti osteoarthritis, patah atau retak tulang, sendi terkehel dan osteoporosis, hakikatnya pemulihan atau penyakit ini dapat dikurangkan dengan senaman.

Berikut adalah beberapa aktiviti senaman yang dicadangkan oleh Dr Ng untuk warga emas:

1) Berjalan

2) Melakukan regangan dan rutin berimpak rendah seperti tai chi.

3) Jika tidak selesa bersenam bersendirian, lakukan senaman berkumpulan bersama rakan juga boleh menjadi cara terbaik

Namun warga emas perlu berhati-hati dengan penyakit jantung atau paru-paru yang boleh mengehadkan keupayaan mereka untuk bersenam.

Sebaiknya, Dr Ng menggalakkan mereka untuk merujuk doktor apabila mempunyai keraguan.

"Pada peringkat permulaan, mungkin terdapat sedikit kesakitan dan ketegangan selepas bersenam, namun mereka perlu mendapatkan konsultasi doktor jika mengalami kesakitan yang berpanjangan untuk mengetahui jika terdapat sebarang kecederaan," ujarnya.

senam 1

Pemulihan pelbagai masalah ortopedik dapat dibantu dengan aktiviti senaman. Gambar hiasan

Sementara itu, Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman SMCV, Dr Foo Yoke Long berkata, senaman juga boleh menguatkan jantung dan menambah baik peredaran darah di dalam badan.

Menurutnya, peningkatan peredaran darah akan meningkatkan kadar oksigen di dalam tubuh dan mengurangkan risiko penyakit berkaitan jantung seperti kolesterol tinggi, penyakit koronari arteri dan juga serangan jantung.

"Melakukan aktiviti fizikal dengan kerap dapat meningkatkan kekuatan dan daya tahan diri serta boleh membawa kepada peningkatan kesihatan jantung dan paru-paru, serta membuatkan seseorang lebih bertenaga untuk melakukan aktiviti harian mereka.

"Ia selamat untuk kebanyakan warga emas berumur lebih 65 tahun untuk bersenam. Malah kebanyakan pesakit yang mempunyai penyakit kronik boleh bersenam dengan selamat.

"Ini termasuk penyakit jantung, tekanan darah tinggi, diabetes, dan juga arthritis. Kebanyakan daripada penyakit seperti ini boleh bertambah baik dengan senaman," katanya.

"Sesetengah warga emas mungkin akan berasa teragak-agak untuk melakukan senaman fizikal selepas menjalani prosedur jantung, namun bergerak aktif sebenarnya boleh menguatkan jantung dan membantu proses pemulihan," ujarnya lagi.

Apa yang penting menurutnya, warga emas perlu peka dengan keadaan tubuh mereka serta tahu apakah limitasi yang mereka boleh lakukan

Selain senaman, kunci kepada kesihatan yang baik adalah dengan menjaga pemakanan dan tidur yang mencukupi.

"Meskipun jangka hayat seseorang boleh bertambah dengan hanya menambah baik satu daripada tiga faktor gaya hidup ini, beberapa kajian baru-baru ini telah mencadangkan bahawa meningkatkan kualiti ketiga-tiga faktor ini mungkin merupakan cara yang lebih baik untuk meningkatkan kesihatan fizikal dan mental," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain