suria

Tar, nikotin, masalah pembakaran... alternatif perlu tangani ketagihan merokok

Selain meningkatkan risiko kematian akibat kanser, merokok juga menyebabkan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan emfisema.

TAR merupakan istilah yang digunakan untuk menggambarkan zarah kimia toksik yang dikeluarkan melalui pemanasan tembakau, iaitu selepas rokok tradisional dinyalakan.

Bukan, ia tidak sama dengan tar yang digunakan di jalan raya. Anda sebenarnya mungkin biasa dengan bahan ini yang meninggalkan kesan coklat atau kuning pada gigi perokok.

Apabila tembakau dipanaskan, ia menghasilkan asap toksik dan tar adalah sebahagian daripada asap berbahaya, diperbuat daripada benzena, arsenik dan formaldehid bersama bahan kimia lain.

Lazimnya, pembakaran tembakau begitu dikenali kerana menghasilkan tiga komponen utama berbahaya, iaitu nikotin, tar dan karbon monoksida.

Tar yang merupakan bahan kimia hitam yang melekit boleh mengotorkan gigi dan terkumpul di dalam paru-paru seseorang, dan menyebabkan masalah kesihatan seperti kanser paru-paru dan emfisema.

Tiga komponen asap rokok

Kebanyakan orang mengetahui tiga komponen utama asap rokok tetapi sering keliru mengenai antara nikotin dan tar mengenai kesannya kepada kesihatan.

Pertamanya, nikotin diketahui umum sebagai komponen tembakau serta produk yang mengandungi tembakau dan ia merupakan faktor menyebabkan ketagihan merokok.

Selain rokok, terdapat alternatif lain di pasaran yang mengandungi nikotin juga termasuk produk tembakau yang dipanaskan dan rokok elektronik (vape).

Beberapa kajian bebas menunjukkan bahawa 'walaupun nikotin menyebabkan ketagihan, ia bukanlah penyebab utama penyakit berkaitan merokok.' Sebaliknya, paras tinggi bahan berbahaya dan berpotensi bahaya akibat pembakaran tembakau merupakan punca utamanya.

Memandangkan nikotin adalah bahan yang menyebabkan ketagihan merokok, ia juga boleh membantu perokok beralih kepada alternatif ‘tanpa asap’.

Sebagai contoh, rokok elektronik tidak membakar tembakau; sebaliknya menghasilkan cecair yang mengandungi nikotin dan bahan kimia lain.

Keduanya ialah tar iaitu sukatan berat sisa pepejal dan cecair dalam asap rokok, selepas nikotin dan air telah dikeluarkan.

Tar mula merosakkan bahagian dalam mulut, dengan mengotorkan gigi, melemahkan gusi dan menghilangkan deria rasa.

Sisa melekit tersebut akan tersumbat dalam pembuluh paru-paru yang dipanggil silia dan menghalangnya daripada berfungsi dengan baik, menyebabkan toksin lain bergerak bebas ke dalam paru-paru.

Menurut info yang disampaikan oleh PMI serta Ketua Global Saluran Profesionalnya, Dr Tom McGrath, kajian saintifik menunjukkan bahawa apabila suhu tembakau meningkat, tahap keseluruhan juzuk berbahaya dan berpotensi berbahaya juga meningkat.

“Dengan menghapuskan pembakaran dan mengurangkan suhu di mana tembakau dipanaskan, tahap keseluruhan juzuk yang berbahaya dan berpotensi berbahaya dapat dikurangkan.

"Dalam aerosol sistem pemanasan tembakau, paras bahan berbahaya dan berpotensi berbahaya ini secara purata akan berkurangan sebanyak 90 hingga 95 peratus berbanding asap rokok," katanya.

Kajian ini turut menjelaskan produk alternatif adalah berbeza dengan rokok biasa kerana ia memanaskan tembakau tanpa membakarnya.

Terakhirnya ialah karbon monoksida. Apabila karbon monoksida memasuki paru-paru melalui pernafasan, ia mengikat dengan hemoglobin dalam sel darah merah untuk menghasilkan carboxyhemoglobin, yang akan diangkut ke dalam aliran darah di mana oksigen tidak lagi boleh mengikat dengan sel yang sama.

Terlalu banyak karbon monoksida dalam saluran darah menyebabkan badan kekurangan oksigen dan boleh mengakibatkan keracunan karbon monoksida dalam kes yang ekstrem.

Menghapuskan pembakaran

Seperti yang dinyatakan, menghapuskan pembakaran dan seterusnya mengurangkan tahap kandungan berbahaya secara mendadak, yang dikenali sebagai paras bahan kimi berbahaya dan potensi berbahaya (HPHC), merupakan satu cara untuk mengurangkan kematian akibat rokok tradisional dan perokok dewasa beralih kepada alternatif yang kurang berbahaya.

Tar rokok beracun dan karsinogenik, dan tetap akan terhasil selagi asap tembakau dihasilkan.

Bagaimanapun, langkah terbaik bagi mengurangkan risiko kesihatan adalah dengan berhenti merokok sepenuhnya (termasuk mengelakkan kawasan merokok dan asap rokok basi atau secondhand smoke) atau beralih kepada alternatif kurang berbahaya yang tidak menghasilkan tar.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain