suria

Maya Karin tanggal kasut atas pentas! Cuba 2 teknik grounding ini jika anda terkena serangan panik

Maya Karin berjaya mengawal situasi dengan melakukan teknik grounding ketika mengalami serangan panik.

SERANGAN panik atau panic attack mungkin tidak begitu 'familiar' bagi kebanyakan orang, meskipun banyak perkongsian dipaparkan di media sosial oleh mereka yang mengalaminya.

Serangan panik adalah satu situasi ketakutan yang kuat, menyebabkan tindak balas fizikal teruk apabila tidak terdapat sebarang bahaya atau sebab yang jelas.

Ada dalam kalangan penghidap mengalami serangan panik yang menyebabkan jantung berdegup laju, sesak nafas dan badan berpeluh secara tiba-tiba.

Ramai individu hanya mengalami sekali atau dua kali serangan panik dalam kehidupan mereka dan masalah tersebut akan hilang jika individu tersebut tidak lagi berada dalam tekanan.

Walaupun serangan panik bukanlah satu keadaan yang mengancam nyawa, namun ia boleh menjadi sangat menakutkan dan menjejaskan kualiti kehidupan bagi mereka yang mengalaminya.

Baru-baru ini tular klip video memaparkan aktres Maya Karin, mengalamai serangan panik ketika tampil sebagai penyampai anugerah di Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32).

ARTIKEL BERKAITAN: Serangan panik punca menggeletar di pentas FFM32, Maya Karin gelar Faizal Hussien hero - “Siap kutip kasut saya yang tertinggal”

Menerusi video tersebut, kelihatan aktres berkenaan menggigil ketika membacakan pemenang bagi kategori Pelakon Lelaki Harapan Terbaik.

Selain ditenangkan oleh rakan penyampai, pelakon Faizal Hussein, Maya melakukan teknik 'grounding' iaitu menanggalkan kasut serta mengambil nafas bagi meredakan situasi.

grounding

Teknik grounding yang boleh dicuba bagi mereka yang mengalami serangan panik. Foto: Facebook PHM

Apa itu teknik grounding?

Memetik hantaran di Facebook Public Health Malaysia (PHM), grounding adalah cara yang berkesan untuk menenangkan kebimbangan semasa serangan panik.

Dalam proses ini, penghidap mengenal pasti objek di sekeliling untuk membantu otak mengenali di mana mereka berada.

Ini mewujudkan rasa selesa kerana mereka tahu di mana mereka berada dan berasa lebih dapat mengawal keadaan.

Berikut antara tip untuk meredakan kebimbangan menggunakan teknik grounding

1) 'Tanam kaki'

Proses ini memerlukan anda untuk berdiri atau duduk dengan pemukaan kedua-dua tapak kaki menyentuh lantai, tanah atau rumput. Rasai permukaan tersebut. Adakah ia kasar, licin, sejuk atau panas? Cuba rasakan dengan teliti. Anda akan dapat rasakan seperti ada tenaga elektrik yang turun dari atas kepala ke tapak kaki, mengalir ke bumi.

2) Bernafas

Perlahan-lahan, tarik nafas dalam kiraan lima saat. Hembus semula perlahan-lahan dalam kiraan enam saat. Lakukan dalam kiraan enam saat. Anda akan mula rasakan darah beredar dengan lancar.

Hanya yang mengalami masalah ini benar-benar faham situasi yang dialami. Jika tidak ditangani dengan baik, serangan panik boleh menjadi lebih teruk dan pesakit boleh pitam. Selamat mencuba!

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain