suria

Bengkak usus, kegagalan buah pinggang gara-gara produk sampah! Doktor kongsi 5 tip elak terpengaruh ubat ‘overclaim’

Lambakan ubat serta supplement 'overclaim' di pasaran mengundang kebimbangan pengamal perubatan. Gambar hiasan

LAMBAKAN produk atau 'supplement' yang bersifat 'overclaim' yang ditawar kepada masyarakat ternyata mengundang bahaya terhadap kesihatan untuk jangka panjang.

Mana tidaknya, produk yang didakwa mampu merawat pelbagai penyakit kronik ditambah pula dengan testimoni pengguna lain, membuatkan ramai terpengaruh tanpa memeriksa status kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) terlebih dahulu.

Apa yang dikesalkan, meskipun banyak kes kemasukan ke hospital angkara produk 'sampah' dilaporkan, masyarakat seolah-olah masih belum sedar untuk dijadiakan pengajaran.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak salah jual susu pisang, tetapi iklan itu agak mengelirukan” - Dr Amalina minta penjelasan Neelofa ‘overclaim’ khasiat produk minuman keluarannya

Pengamal perubatan, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman turut berkongsi kisah seorang pesakitnya yang diagnosis bengkak usus dan kegagalan buah pinggang tahap 4 gara-gara mengambil produk detoks usus.

"Usus kita tak perlukan ubat atau supplement untuk detoks! Allah dah cipta kita manusia ini sebaik-baik kejadian luar dan dalam.

ubat 1

Pengambilan ubat tanpa saranan doktor boleh mengakibatkan kesan buruk jangka panjang.

"Sekecil sel-sel dalam badan kita ada fungsi pada setiap satunya. Hebat dah Allah cipta.

"Usus kita dah banyak mikroorganisma yang bantu membersihkan usus dan struktur usus kecil dan besar itu sendiri juga memainkan peranan dalam memastikan usus dalam keadaan berfungsi baik dan sihat.

"Tak perlu detoks please. Tak percaya? Belajar fisiologi dan anatomi usus," ujar Pengarah Perubatan Klinik Iris ini lagi.

Justeru, Dr Arisman berkongsi petua kepada para pengguna untuk lebih berhati-hati dan tidak tertipu dengan 'mulut manis' peniaga produk 'sampah'.

1) Sebelum beli apa-apa supplement, tanya dahulu diri sendiri 'Betul ke aku perlukan supplement ni?' atau 'Kenapa perlu ambil supplement?'

2) Rakyat Malaysia sangat suka makan, maka tiada keperluan untuk mengambil supplement kerana makanan harian yang diambil sudah lengkap dengan sayur-sayuran atau buah-buahan sudah memadai dengan vitamin dan mineral yang diperlukan.

dr 1

Dr Arisman Wenge Abdul Rahman

3️) Boleh pergi ke website 'NPRA product search' untuk tahu sama ada produk itu berdaftar atau lulus KKM.

4️) Harga beribu-ribu untuk satu produk yang beri jaminan 1,001 penyakit itu adalah sangat 'ajaib'. Dan ajaib adalah berkadar langsung dengan overclaim. Overclaim pula 'adik-beradik' kepada sampah. Rujuk Akta ubat (iklan dan penjualan) 1956.

5️) Konsultasi dengan doktor pakar bertauliah. Tiada seorang doktor yang bertauliah akan menyarankan anda untuk membeli supplement tertentu dengan jaminan yang bersifat 'overclaim'.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain