suria

Perkeso lancar skim perlindungan khas untuk suri rumah... ini 10 perkara anda perlu tahu tentang SKSSR

Perkeso lancar Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah berkuat kuasa 1 Disember. Foto: Perkeso

KEDENGARAN remeh, namun bukan mudah bagi mereka yang menggalas 'title' sebagai seorang suri rumah.

Sebagai mengiktiraf penglibatan suri rumah dalam 'Care Economy' dan pembangunan institusi keluarga, Kementerian Sumber Manusia menerusi agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) berkuat kuasa 1 Disember 2022.

SKSSR menyediakan perlindungan kepada golongan suri rumah apabila berdepan dengan bencana pekerjaan dan keilatan sewaktu melakukan urusan rumah tangga.

Skim ini tidak terikat dengan aktiviti pengurusan rumah tangga atau rutin seharian dalam kediaman, namun ia mencakupi hal-hal lain berkaitan urusan rumah tangga seperti menjaga anak-anak atau ibu dan bapa warga emas, menghantar dan mengambil anak dari sekolah, membawa ibu bapa ke temu janji doktor, membeli barang keperluan di pasar atau pasaraya dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Misi buru Duta Muda, PERKESO komited tingkat pemahaman kesedaran perlindungan sosial Gen Z

Menurut Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, skop 'suri rumah' di bawah Akta 838 adalah luas kerana ia terbuka kepada wanita sama ada berkahwin atau belum dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau tidak.

"Ia merangkumi isteri, janda atau balu, ibu tunggal dan wanita bujang yang berkerjaya atau suri rumah sepenuh masa," ujarnya.

skim 2

Skim tidak terikat dengan aktiviti pengurusan rumah tangga atau rutin seharian dalam rumah, namun ia mencakupi hal-hal lain berkaitan urusan rumah tangga.

Berikut adalah 10 perkara penting yang anda perlu tahu mengenai SKSSR:

1) Untuk mendaftar dan mencarum di bawah SKSSR, suri rumah mestilah warga Malaysia atau pemastautin tetap yang berumur kurang dari 55 tahun

2) Tiada had umur minimum untuk mencarum.

3) Suri rumah yang layak hanya perlu membuat bayaran caruman sebanyak RM120 setahun secara 'in advance' bagi menerima perlindungan selama 12 bulan berturut-turut serta memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan menerima faedah

4) Caruman secara sukarela namun pihak suami amat digalakkan untuk mencarum bagi pihak isteri masing-masing.

5) Mana-mana pihak ketiga juga termasuk ahli keluarga dan badan bukan kerajaan (NGO) boleh membayar caruman untuk suri rumah

6) SKSSR menyediakan Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan untuk suri rumah yang mencarum.

7) Manfaat di bawah Perlindungan Bencana Domestik adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis, Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat.

8) Manfaat di bawah Perlindungan Keilatan pula menyediakan faedah seperti Elaun Keuzuran, Elaun Layanan Sentiasa, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis, Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat.

9) Malaysia antara empat negara di dunia yang menyediakan perlindungan sosial khusus buat golongan wanita, dalam pelbagai bentuk skim dan faedah.

10) Permohonan dibuka pada 1 Disember 2022. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Perkeso di www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan Perkeso 1-300-22-8000.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain