suria

Awas! Bakteria pembunuh kedua masyarakat dunia, 7.7 juta kematian global direkodkan

Bakteria patogen dikesan mengakibatkan kematian 7.7 juta masyarakat seluruh dunia sebelum wabak Covid-19 menular.

JANGKITAN bakteria adalah penyebab utama kedua kematian di seluruh dunia!

Menerusi pendedahan yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet pada 22 November lalu, bakteria menyumbang satu daripada lapan faktor kematian pada 2019.

Kajian baharu itu turut menyatakan bahawa kematian berpunca daripada 33 patogen bakteria biasa serta 11 jenis jangkitan di 204 negara dan wilayah.

Patogen dikaitkan dengan 7.7 juta kematian iaitu 13.6 peratus daripada jumlah global pada 2019.

Itu menjadikannya penyebab utama kematian kedua selepas penyakit jantung iskemik, termasuk serangan jantung.

Bagaimanapun, hanya lima daripada 33 bakteria bertanggungjawab untuk separuh daripada kematian tersebut iaitu Staphylococcus aureus, Escherichia coli, Streptococcus pneumoniae, Klebsiella pneumoniae dan Pseudomonas aeruginosa.

S. aureus ialah bakteria biasa dalam kulit dan lubang hidung manusia, manakala E. coli biasanya menyebabkan keracunan makanan.

Menurut pengarang bersama kajian Christopher Murray yang juga pengarah Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, kajian tersebut dijalankan di bawah rangka kerja Global Burden of Disease iaitu sebuah program penyelidikan besar yang dibiayai oleh Yayasan Bill dan Melinda Gates yang melibatkan beribu-ribu penyelidik di seluruh dunia.

bakteria 1

Bakteria dikesan sebagai salah satu pembunuh utama dunia.

"Data baharu ini buat kali pertama mendedahkan tahap penuh cabaran kesihatan awam global yang ditimbulkan oleh jangkitan bakteria.

"Adalah amat penting untuk meletakkan keputusan ini dalam radar inisiatif kesihatan global supaya pengetahuan lebih mendalam ke dalam patogen maut ini dapat dijalankan dan pelaburan yang sewajarnya dibuat untuk mengurangkan jumlah kematian mahupun jangkitan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki perut buncit bikin wanita lebih sayang? Jangan yakin sangat, silap-silap jadi punca penyakit!

Penyelidikan menunjukkan perbezaan ketara antara wilayah miskin dan kaya.

Di Sub-Sahara Afrika, terdapat 230 kematian bagi setiap 100,000 penduduk akibat jangkitan bakteria.

Jumlah itu jatuh kepada 52 setiap 100,000 dalam apa yang disebut oleh kajian itu sebagai ‘rantau super berpendapatan tinggi’, yang termasuk negara di Eropah Barat, Amerika Utara dan Australasia.

Penulis menyeru untuk meningkatkan pembiayaan, termasuk untuk vaksin baharu bagi mengurangkan jumlah kematian pada masa sama memberi amaran terhadap ‘penggunaan antibiotik yang tidak wajar’. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain