suria

Selepas Celine Dion buka cerita, ramai mula ambil tahu tentang Stiff Person Syndrome... Rupanya wanita lebih berisiko

Celine berkongsi mengenai penyakit Stiff Person Syndrome yang dihadapinya bersama peminat menerusi Instagram.

BARU-BARU ini penyanyi antarabangsa, Celine Dion berkongsi berita sedih mengenai keadaan kesihatannya yang disahkan menghidap penyakit Stiff Person Syndrome (SPS).

Menurut Celine, 54, penyakit yang dihidapinya tidak dapat diubati sehingga membuatkan dia mengambil keputusan untuk membatalkan konsert jelajah Eropah yang sepatutnya bermula pada Februari tahun depan.

"Saya sudah lama berhadapan dengan masalah kesihatan. Sememangnya sukar bagi saya untuk menghadapi cabaran ini dan bercakap mengenai apa yang saya lalui.

"Baru-baru ini saya didiagnosis dengan gangguan saraf yang sangat jarang berlaku, dipanggil Stiff Person Syndrome, di mana ia berlaku terhadap satu dalam sejuta orang.

"Sementara saya masih belajar tentang keadaan yang jarang berlaku ini, kini saya tahu inilah yang menyebabkan semua punca kekejangan yang saya alami," kongsi Celine dalam satu video penuh beremosi di laman Instagram miliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Celine Dion batal konsert jelajah Eropah, dedah hidap penyakit tak dapat diubati ‘Stiff Person Syndrome’

Berita tersebut nyata mengejutkan peminat penyanyi yang terkenal dengan lagu My Heart Will Go On itu.

Perkongsian tersebut nyata membuka mata ramai mengenai penyakit yang boleh dikatakan agak jarang kedengaran ini.

stiff

Bagi rawatan kaedah alternatif, pesakit mungkin menjalani terapi tingkah laku kognitif dan psikoterapi. Gambar hiasan.

Apakah yang dimaksudkan dengan Stiff Person Syndrome?

1) Stiff Person Syndrome adalah gangguan neurologi yang jarang berlaku dengan ciri penyakit autoimun.

2) Ia menjejaskan sistem saraf pusat dan boleh menyebabkan kekakuan seluruh badan serta kekejangan otot yang menyakitkan.

3) Ia pertama kali dikenali pada tahun 1920-an selepas doktor menggambarkan pesakit yang menghidap penyakit ini seperti 'manusia kayu'.

4) Menurut pengarah di Institut Perubatan Johns Hopkins, Dr Scott Newsome, punca sebenar keadaan ini tidak jelas tetapi ia melibatkan sistem imun.

5) Sindrom ini tidak membawa maut, tetapi ia boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit dengan ketara. Dan seperti kebanyakan penyakit kronik, komplikasi yang berkaitan boleh menyebabkan jangka hayat pesakit menjadi pendek.

6) Dr Richard Nowak, pembantu profesor neurologi di Yale School of Medicine merumuskan, sindrom ini boleh menyerang sesiapa sahaja namun ia berisiko dihidap oleh mereka yang berusia antara 30 tahun hingga 60 tahun.

7) Sindrom ini dikaitkan dengan perkara yang boleh mengundang tekanan (stres).

8) Cenderung mengundang risiko kepada golongan wanita berbanding lelaki.

9) Tiada ubat untuk sindrom ini, justeru doktor memberi tumpuan kepada pengurusan gejala dan kesakitan.

10) Gejala yang lebih teruk dirawat dengan imunoterapi dan imunosupresan. Bagi rawatan kaedah alternatif, pesakit mungkin menjalani terapi tingkah laku kognitif dan psikoterapi lain. - nytimes.com

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain