suria

Macam bosan, dah cuba terus gian! Suami nampak manfaat selepas belajar memanah dengan isteri

Sukan memanah diakui membawa banyak kebaikan buat Mohamad Sith sekeluarga.

KATA orang, tak kenal maka tak cinta.

Bagi Mohamad Sith Ismail yang baru sahaja aktif melibatkan diri dalam sukan memanah, dia juga pernah mempunyai tanggapan yang berbeza terhadap aktiviti sunah Rasulullah itu.

Namun, hatinya mula berubah selepas dia mempelajari aktiviti itu daripada isterinya, Siti Latifah Yunus yang juga guru mata pelajaran bahasa Arab, bahasa Melayu dan Sejarah.

"Orang rumah saya cikgu yang ajar budak-budak sekolah memanah. Dia dah mengajar sukan itu sejak tahun 2018. Isteri saya pun belajar memanah di sekolah dengan seorang guru. Selepas guru itu berpindah, isteri saya ambil alih untuk ajar murid-murid memanah.

memanah5

Anak sulungnya yang berusia tujuh tahun turut aktif mengikuti sukan memanah.

"Saya dah selalu tengok isteri saya memanah. Dulu saya rasa ia membosankan sebab kena berdiri tengah panas. Kemudian, saya mula belajar untuk memanah kerana kelapangan masa dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selepas dah cuba sendiri, ia sebenarnya membuatkan saya ketagih. Rasa seronok pula. Awal-awal dulu, sasaran depan mata pun tak kena. Saya belajar dari zero. Dalam sebulan saya dah okay. Tapi tak hebat pun, yang penting seronok dapat memanah," ujarnya.

Menurut anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menetap dan bertugas di Batu Pahat, Johor, itu, dia juga mula melihat sukan sunah berkenaan membawa banyak manfaat dan kebaikan untuk dia serta anaknya.

"Saya ada tiga cahaya mata. Anak sulung yang berumur tujuh tahun turut memanah. Alhamdulillah, ada kawasan lapang belakang rumah untuk kami memanah.

memanah2

Sebahaian rakan-rakan Mohamad Sith yang turut mengikuti aktiviti memanah.

"Saya nampak sukan ini membawa banyak kebaikan. Antaranya ia mengajar kanak-kanak untuk fokus. Kanak-kanak biasanya sukar beri tumpuan, tapi mereka akan jadi fokus apabila memanah.

"Macam saya sendiri, aktiviti memanah membuatkan saya rasa tenang. Lagi-lagi kalau memanah sendiri. Ia merupakan permainan minda yang menguji, tetapi membawa ketenangan dan keseronokan. InsyaAllah anak saya yang berumur tiga tahun dan setahun juga akan diajar memanah apabila mereka membesar nanti," ujarnya.

Selain memanah bersama keluarga, Mohamd Sith yang menetap di Kampung Separap turut aktif memanah bersama rakan-rakannya bagi mengisi masa lapang.

Dia turut bersyukur apabila aktiviti itu mendapat sokongan ketua kampung sehingga tercetusnya idea membaik pulih dewan usang sebagai lokasi untuk bermain sukan berkenaan.

memanah1

Sukan memanah berupaya melatih fokus golongan kanak-kanak.

"Saya sangat galakkan orang ramai sertai sukan ini. Tapi sekarang masih boleh bilang dengan jari, kerana sukan ini tidak popular seperti badminton, takraw atau bola sepak. Memanah ni kalau boleh saya nak ajak semua orang.

"Kalau boleh nak sebarkan lagi. Bak kata kawan saya, satu hari, satu rumah, satu busur. Kalau boleh kita nak semua orang Malaysia ada busur di rumah mereka.

"Alhamdulillah ketua kampung kami turut bagi sokongan. Beliau bagi kebenaran guna dewan usang untuk baik pulih jadi tempat memanah. Sekarang ada dalam 30 kawan sekampung yang turut memanah.

"Bagi yang takut untuk memanah, jangan risau. Tapi kita kena sentiasa utamakan keselamatan dan bermain di tempat lapang," ujarnya yang turut aktif berkongsi video memanah di Facebook.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain