suria

3 artis tempatan kongsi inspirasi hasilkan arca dasar laut, legenda Mahsuri jadi tumpuan

Dari kiri Umibaizurah, Low Chee Peng dan Dr Zainuddin, antara artis yang menghasilkan arca dasar laut di Langkawi.

SEJARAH tercipta apabila penghasilan sebanyak 14 arca oleh sembilan artis tempatan di Langkawi, Kedah kini tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Menerusi Program Pelancongan Berasaskan Komuniti Arca Dasar Laut, ia mendapat pengiktirafan sebagai 'Most Underwater Sculptures'.

Menjadi tarikan baharu di Langkawi, Arca Dasar Laut yang berkonsepkan mitos dan legenda dilabuhkan ke dasar laut di perairan Pulau Pasir.

artis arca dasar laut 2

Arca 'Curse of Passing' yang dihasilkan oleh Low Chee Peng.

Program Pelancongan Berasaskan Komuniti Arca Dasar Laut yang dianjurkan oleh Balai Seni Negara merupakan salah satu usaha memperkasakan ekosistem seni dan pelancongan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibarat galeri seni dalam air, Arca Dasar Laut kini lokasi wajib kunjung jika ke Langkawi

ARTIKEL BERKAITAN: Produk pelancongan baharu arca dasar laut Langkawi diperkenal... diiktiraf Malaysia Book of Records!

Program ini dilancarkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, pada 23 Julai lalu.

Keunikan arca ini ialah ia dihasilkan dalam pelbagai bentuk dan konsep dan kemudiannya dibenamkan ke dasar laut.

artis arca dasar laut 9

Arca 'Permata Hinggap' karya seni Umibaizurah.

Antara artis yang terlibat dalam program itu adalah Mohd Al Khuzairie Ali menerusi karya Sang Kelembai Meletus, Mohd Radzi Ismail (Belanga Pecah), Ahmad Fuad Osman (Tugu Antroposen), Umibaizurah Mahir @ Ismail (Permata Hinggap) dan Dr. Zainuddin Abindinhazir @ Abd Rashid (Hukuman).

Selain itu adalah karya Tengku Sabri Tengku Ibrahim berjudul Archelon, Abdul Multhalib Musa (Segitiga Langkawi), Low Chee Peng (Curse of Passing) dan Maxine Xie Xian Xin (Mushrooms For MuchRooms To Let).

Permata Kedah

Bertemakan Permata Hinggap, Umibaizurah Mahir @ Ismail, 47, berkata, sebagaimana yang diketahui ramai, Langkawi juga dikenali sebagai Permata Kedah.

artis arca dasar laut 10

Umibaizurah menggunakan pelampung keselamatan dalam menghasilkan arca.

Menurut artis yang berasal dari Muar, Johor berkenaan, dia menggunakan nama Permata Kedah dalam penghasilan arca dasar laut kerana menyifatkan ia sebagai unik dan tidak ternilai.

"Permata bagi saya adalah sumber alam, manusia itu sendiri. Sebab itu karya saya menggunakan objek-objek yang saya kutip di sekitar Pulau Langkawi dan objek itu ada kaitan dengan perairan di Langkawi.

"Saya gunakan pelampung keselamatan, permainan plastik menunjukkan generasi baharu. Ketiga saya menggunakan helang, sangat sinonim dengan perairan di Langkawi. Ketiga-tiga ini bagi saya adalah permata hinggap di Langkawi," katanya kepada mStar.

artis arca dasar laut 17

Kerja-kerja menyiapkan arca 'Permata Hinggap'.

Pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum menjadi artis sepenuh masa pada 2005, Umibaizurah berkata arca yang dihasilkannya dalam kedudukan meninggi seperti menara.

"Ini kerana helang suka hinggap di tempat yang tinggi dan hinggap itu sendiri adalah satu kelakuan yang tidak pernah lama.

"Ia datang sekejap saja, tapi meninggalkan satu impak dan kesan yang baik," katanya yang pernah tersenarai sebagai 'Top 40 under 40 - Prestige Malaysia. Poised For Power 2010'.

Selain melakukan pameran seni secara solo dan terbuka, antara pencapaian Umibaizurah yang lain adalah Top 10 Anugerah Bakat Muda Sezaman '06 (2007), tempat pertama Pertandingan Seni Johor (1999) dan finalis Nokia Arts Awards - Asia Pasific.

artis arca dasar laut 16

Arca 'Permata Hinggap' tersergam indah di perairan dekat Pulau Pasir, Langkawi.

Legenda Mahsuri

Sememangnya legenda Mahsuri cukup diketahui rakyat Malaysia termasuklah Low Chee Peng yang mengangkat tema tersebut.

Arca yang dihasilkannya itu berbentuk hati seorang wanita dan terbenam di kawasan pesisir pantai di Pulau Pasir dengan bentuk seperti rambut timbul di bahagian belakangnya.

Chee Peng berkata, dengan tema ‘Sumpahan yang tamat’ atau Curse of Passing, dia mendapat inspirasi daripada legenda Mahsuri bagi menghasilkan arca berukuran 40 kaki panjang dengan lebar dan tinggi masing-masing 10 kaki.

artis arca dasar laut 4

Reka bentuk arca yang dihasilkan oleh Low Chee Peng.

Artis sepenuh masa berusia 47 tahun itu memberitahu, sumpahan Mahsuri akibat difitnah tamat selepas tujuh keturunan diterjemahkan dalam bentuk arca.

“Saya buat arca Mahsuri yang boleh nampak di permukaan air, belakang rambutnya ada tujuh helai yang berlingkar ke belakang mewakili tujuh generasi sumpahan tamat.

"Bentuk lubang dan jarak di antaranya akan menghasilkan batu karang semula jadi, yang boleh dilalui oleh ikan-ikan,” katanya yang berasal dari Ayer Itam, Pulau Pinang.

artis arca dasar laut 7

Low Chee Peng tekun menyiapkan arca.

Pertama kali menghasilkan arca di dasar laut, dia yang bergiat aktif dalam aktiviti seni sejak 1993 berkata, dia mengambil masa kira-kira sebulan untuk menyiapkan arca berkenaan.

"Cabaran adalah arca yang saya buat ini paling besar, maka memerlukan kawasan yang lebih luas untuk membuatnya. Jika saiz tak cukup besar, tidak cukup impaknya.

"Walaupun air pasang, sebahagian arca iaitu di bahagian kepala masih dapat dilihat. Boleh nampak hidung," katanya yang berharap arcanya dapat menarik perhatian ramai.

artis arca dasar laut 14

Dr Zainuddin komited menghasilkan arca 'Hukuman'.

Habitat hidupan akuatik

Sementara itu, Dr Zainuddin Abindinhazir @ Abd Rashid, 55, turut mendapat inspirasi berdasarkan populariti sejarah Mahsuri dalam kalangan masyarakat setempat, malahan di Malaysia yang diingati sampai bila-bila.

Menghasilkan reka bentuk arca berdasarkan babak cerita Mahsuri yang menyayat hati berjudul ‘Hukuman’, katanya, karya tersebut diilhamkan dari rujukan terhadap simbol saintifik antarabangsa gender manusia melambangkan lelaki dan wanita.

"Simbol-simbol ini diberikan watak figura dalam gaya surealisme sebagai representasi dua babak dalam kisah legenda Mahsuri. Terdapat banyak versi kisah legenda ini, namun sinonimnya wujud dalam setiap versi," katanya yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah.

artis arca dasar laut 13

Arca yang dihasilkan oleh Dr Zainuddin mendapat inspirasi daripada legenda Mahsuri.

Dr Zainuddin yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Seni Dan Rekabentuk, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim berkata, karya 'Hukuman' didirikan dengan ketinggian 7 kaki lebar dan 7 kaki panjang serta 14 kaki tinggi.

"Bentuk-bentuk yang diolah turut mempertimbangkan kesesuaiannya dalam persekitaran air yang diyakini berpotensi untuk berfungsi sebagai tempat hidup makhluk akuatik, migrasi dan berkembang biak.

“Lingkungan fizik habitat buatan ini diharap mampu menarik populasi pelbagai spesis hidupan marin dan mempengaruhi transformasi akhir pembentukan karya ini secara semula jadi dalam tempoh yang ditentukan oleh alam akuatik itu sendiri,” katanya yang mengambil masa sebulan untuk menyiapkan arca tersebut.

artis arca dasar laut 15

Penyelam skuba meneroka arca dasar laut di perairan Pulau Pasir, Langkawi.

Berpengalaman dalam penghasilan arca selama 20 tahun, Dr Zainuddin menjelaskan kelainan yang ditonjolkan adalah figura bukan manusia sebenar yang mana simbol saintifik yang diberi watak dalam gaya surrealis.

"Dari aspek komposisi, karya ini dirancang agar kesesuaian dan kebolehan untuk berfungsi sebagai habitat kepada hidupan akuatik.

"Manipulasi tentukan simbol figura dalam representasi karya ini adalah ikonografi yang menghubungkan maksud tersurat dan tersirat dalam merealisasikan matlamat dan hasrat Balai Seni Negara dan Kementerian Pelancongan dengan rasional arca sebagai kaedah pemuliharaan dan bagaimana arca boleh membantu ekosistem marin," katanya.

Maklumat lanjut mengenai Program Pelancongan Berasaskan Komuniti Arca Dasar Laut, layari laman web www.artgallery.gov.my atau ikuti laman sosial rasmi Balai Seni Negara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain