suria

Produk pelancongan baharu arca dasar laut Langkawi diperkenal... diiktiraf Malaysia Book of Records!

Nancy menandatangani plak perasmian Program Pelancongan Berasaskan Komuniti Arca Dasar Laut di Pengkalan Kubang Badak, Langkawi.

MALAYSIA terus memperkenalkan produk pelancongan baharu, dan kali ini pelbagai arca di dasar laut yang berkonsepkan mitos dan legenda di Langkawi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, terdapat 14 arca dasar laut yang dihasilkan oleh sembilan penggiat seni tempatan yang dilabuhkan di sekitar Pulau Pasir pada 2 Jun lalu.

Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada Program Pelancongan Berasaskan Komuniti yang dianjurkan oleh Balai Seni Negara dalam usaha memperkasakan ekosistem seni dan pelancongan negara, yang turut melibatkan pelancong dan komuniti selam skuba tempatan.

arca dasar laut 4

Sebahagian arca di perairan Pulau Pasir di Langkawi.

"Melancong selama ini kita lihat dari atas. Tapi di sini kita memberi peluang kepada mereka untuk melakukan aktiviti di dasar laut iaitu menyelam, supaya mereka tidak hanya melihat batu karang sahaja tapi mereka juga melihat seni yang dihasilkan oleh manusia dan dibawa ke dasar laut.

"Semua ini merupakan usaha kita untuk menghasilkan produk pelancongan yang baharu. Ini memberi galakan kepada penyelam melakukan aktiviti mereka dan juga kepada penggiat seni dalam mempelbagaikan kemahiran mereka dengan menghasilkan arca di dasar laut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena perasmian Program Pelancongan Berasaskan Komuniti di Pengkalan Kubang Badak di Langkawi, pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Saraya Arbi, serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Kedah, Mohd Firdaus Ahmad.

arca dasar laut 1

Nancy menunjukkan salah satu arca dasar laut ketika menyelam di perairan Pulau Pasir, Langkawi. foto ihsan Balai Seni Negara

Nancy berkata, arca dasar laut merupakan elemen visual baharu dalam penciptaan konten dan kehebatan cerita tentang mitos legenda Langkawi dengan hasil kreativiti penggiat seni tempatan.

"Arca dasar laut ini juga akan menjadi perumah baharu kepada ekologi marin seterusnya mewujudkan jaringan kelestarian kepada kehidupan marin, komuniti setempat dan pelancongan Langkawi.

"Sukacita ingin saya maklumkan bahawa program Arca Dasar Laut ini turut disenaraikan dalam Malaysia Books of Records (MBOR) dan diiktiraf sebagai Most Underwater Sculptures," katanya.

arca dasar laut 3

Nancy (tengah) selepas memberikan sijil penghargaan kepada penggiat seni yang menghasilkan arca dasar laut.

Menurutnya lagi, dengan kewujudan eko pelancongan yang baharu ini, Pengkalan Kubang Badak serta Tanjung Rhu di Langkawi akan menjadi tumpuan pelancong yang seterusnya, akan membantu meningkatkan rantaian ekonomi komuniti setempat, melalui jualan makanan dan minuman, produk lokal, pengangkutan dan juga penginapan.

Terdahulu, Nancy meluangkan masa lebih sejam menyelam di perairan Pulau Pasir bagi menyaksikan sendiri keunikan arca dasar laut yang dilabuhkan di kawasan itu.

Pada majlis perasmian, beliau turut memberi sijil penghargaan kepada penggiat seni yang menghasilkan arca dasar laut, iaitu Tengku Sabri Tengku Ibrahim, Abdul Multhalib Musa, Ahmad Fuad Osman, Dr Zainuddin Abindinhazir@ Abd Rashid, Low Chee Peng, Maxine Xie Xian Xin, Mohd Al Khuzairie Ali, Mohd Radzi Ismail dan Umibaizurah Mahir@Ismail.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain