suria

Langkawi destinasi pilihan keluarga, diiktiraf antara pulau terbaik Asia Tenggara

Langkawi dikenali sebagai Permata Kedah. foto LIM BENG TATT / The Star

"BERCANDA di pasiran pantai, kita bersama memadu asmara"

Bait-bait lirik lagu Allahyarham Datuk Sudirman Arshad berduet dengan Anita Sarawak mengingatkan pasir pantai memutih dan keindahan 'Permata Kedah', Langkawi.

Terdiri daripada gugusan 99 pulau di luar pantai Kedah, Langkawi merangkul anugerah Asia Best Awards 2022 dan diiktiraf sebagai salah satu pulau terbaik di Asia Tenggara, baru-baru ini.

Permata tropika yang menjadi tarikan utama di Malaysia ini terkenal dengan hutan bakau yang kaya dengan flora dan fauna, pemandangan yang unik, kedai beli-belah bebas cukai dan tempat menarik yang mesra keluarga.

Tidak dapat disangkal lagi bahawa Langkawi merupakan destinasi pelancongan yang sempurna untuk mencari kedamaian dan pengalaman mengujakan yang tiada tandingan di tempat lain.

Pantai Cenang

Keindahan Pantai Cenang.

Berada di kedudukan kelima di samping Phuket, Koh Samui dan Bali, Langkawi mempunyai banyak tawaran untuk pelancong dan pengunjung daripada semua peringkat umur.

Keindahan panoramanya boleh dilihat di kawasan seperti air terjun, kolam air panas dan taman hutan.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Menyelam sambil lihat arca di dasar laut tarikan terbaharu Pulau Langkawi

Digelar sebagai Permata Kedah, Langkawi merupakan kawasan pertama di Asia Tenggara yang diberikan status Geopark UNESCO, atas keunikan pulau itu yang mempunyai pelbagai formasi batuan yang mengagumkan dan di kelilingi hutan purba, gua yang luas dengan stalaktit dan stalagmit, gua dan terowong bawah laut serta hidupan liar.

Sebagai agensi perintis dalam pembangunan pelancongan Langkawi, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memainkan peranan penting dalam menjadikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang terkenal seperti hari ini.

Dataran Lang

Dataran Lang.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, sejak penubuhannya, ia sentiasa komited untuk meletakkan Pulau Langkawi sebagai salah satu daripada 10 destinasi pelancongan terbaik di dunia.

"Ia merupakan satu penghormatan dan kami amat berbangga kerana memperoleh anugerah ini yang mengiktiraf Langkawi sebagai salah satu pulau terbaik di Asia Tenggara.

"Anugerah ini adalah bukti kepada usaha dan dedikasi berterusan kami terutama sepanjang pandemik ketika ketibaan pelancong ke pulau ini berada pada tahap yang kurang memuaskan.

"Walaupun berdepan pelbagai cabaran, kami tetap optimis dan memikul tanggungjawab untuk memastikan pulau ini berdaya tahan dalam perjalanannya ke arah pemulihan dan kekal menjadi destinasi pelancongan pilihan ramai," katanya dalam satu kenyataan.

Gunung Machincang

Kereta kabel di Gunung Machincang.

Menurut Nasaruddin, dalam usaha untuk melangkah lebih jauh dan dengan lebih banyak sekatan perjalanan dilonggarkan, LADA menjangkakan ketibaan lebih ramai pelancong antarabangsa yang berpotensi akan menggiatkan semula ekonomi dan merangsang pendapatan masyarakat setempat.

"Bagi merealisasi hasrat ini, kami memberi tumpuan kepada empat komponen utama iaitu Pelancongan Leisure (Antarabangsa & Domestik), Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) dan acara pelancongan.

"Pelan tindakan kami merangkumi mempromosikan pelancongan berkonsepkan hijau, mencipta pengalaman dan bertanggungjawab, insentif seperti beli-belah bebas cukai dan mewujudkan tempat menarik untuk Instagram bagi memastikan kami dapat mengekalkan kedudukan kami sebagai salah satu pulau terbaik di Asia Tenggara," tambah beliau.

Kilim Geoforest Park

Kilim Geoforest Park.

Kejayaan Langkawi turut disaksikan menerusi anugerah The Best Beach and Upcountry Hotel in Malaysia 2022 yang diberikan kepada hotel Four Seasons Resort Langkawi.

Kunjungan ke Langkawi pastinya akan menawarkan pengalaman tanpa batasan yang begitu berharga buat anda mahukan kepuasan maksimum dalam percutian dan pengembaraan.

Dengan cuaca panas sepanjang tahun, pulau ini menjadi destinasi yang mengujakan bagi anda yang ingin berehat atau memuaskan naluri pengembaraan mereka dengan menyelam skuba atau snorkeling.

Kilim River, part of the Kilim Geoforest Park

Menaiki bot bagi menikmati keindahan panorama dan hidupan.

Anda juga boleh menikmati keindahan desa dan landskap sawah padi serta menerokai pulau ini dengan menaiki kereta kabel yang mendebarkan ke Gunung Machinchang.

Malah, anda boleh pergi meredah hutan dan menerokai kekayaan flora dan fauna yang tidak ditemui di tempat lain di dunia.

Jadi, apa tunggu lagi. Jangan lepaskan peluang ini dan segera merancang percutian anda yang seterusnya ke Langkawi untuk merasai pengalaman yang mengujakan dan premium.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain