suria

Wow! Menyelam sambil lihat arca di dasar laut tarikan terbaharu Pulau Langkawi

Antara arca yang dihasilkan oleh para artis sebagai tarikan terbaharu di Pulau Langkawi.

PULAU Langkawi memang terkenal sebagai destinasi percutian pelancong dari dalam dan luar negara disebabkan pantainya yang indah selain pelbagai tarikan di situ.

Kini, ada alasan lain untuk berkunjung ke pulau legenda itu apabila satu lagi tarikan terbaharu iaitu Arca Dasar Laut dihasilkan yang terletak di Pengkalan Kubang Badak yang pastinya akan menarik perhatian peminat seni dan pelancong antarabangsa.

Kesemua arca itu telah dihasilkan oleh sembilan artis berpengalaman dengan mengetengahkan konsep mitos dan legenda di pulau peranginan itu.

Bagi menambah nilai kepada setiap arca, ia menggunakan simen konkrit yang telah dirawat dan bahan ini bersifat mesra kepada ekosistem dan ekologi marin.

WhatsApp Image 2022-05-22 at 5.45.22 PM

Barisan artis projek itu bergambar bersama Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Ameruddin Ahmad (tiga dari kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), MOTAC, Datuk Saraya Arbi (empat dari kiri).

Lebih menarik, kesemua arca yang dibina sejak Januari lalu itu turut melibatkan komuniti setempat yang terdiri daripada para nelayan, operator selam skuba dan artisan tempatan dalam menghasilkan arca tersebut.

Menjelaskan lebih lanjut mengenainya, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Ameruddin Ahmad berkata, projek itu adalah salah satu usaha pihaknya untuk membawa lebih banyak karya seni ke alam dan tidak semata-mata dipamerkan secara konvensional iaitu di galeri.

Bagaimanapun, Arca Dasar Laut ini juga adalah satu tindakan memberi kembali kepada alam untuk mengembalikan ekologi marin.

“Ia bukan sekadar arca tetapi perumah baru untuk pelbagai spesis ikan dan ekologi marin lain kerana arca ini berfungsi sebagai tukun tiruan dan bukan hanya karya seni semata-mata.

WhatsApp Image 2022-05-22 at 5.47.30 PM

Low Chee Peng bersama arca bertemakan kisah Mahsuri diberi nama Curse of Passing.

"Kehadiran arca ini pastinya akan memperkayakan lagi kaloni dan habitat marin yang akhirnya akan memberi punca rezeki kepada komuniti setempat selain pemangkin kepada eco-marine tourism yang baharu," katanya ketika melancarkan program itu di Pulau Langkawi pada Ahad lalu.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), MOTAC, Datuk Saraya Arbi, Ketua Kurator Kanan, Cawangan Koleksi dan Konservasi Balai Seni Negara, Musrizal Mat Isa dan Pengarah Balai Seni Negara Langkawi, Hazrin Abd Malek.

Jelas Ameruddin lagi, penghasilan arca dasar laut ini dilaksanakan di Pengkalan Kampung Kubang Badak kerana ia merupakan tempat pertemuan dalam kalangan penggemar biogeotrail tempatan dan antarabangsa, aktiviti snorkeling dan memancing.

Ameruddin berkata, keputusan untuk menempatkan kesemua arca itu di Pulau Pasir juga dibuat selepas melakukan pelbagai kajian termasuk kerjasama penyelidik berkaitan hidupan marin, biologis dan kerajaan negeri.

WhatsApp Image 2022-05-22 at 5.48.54 PM

Abdul Multhalib Musa dengan arca Segitiga Langkawi.

“Di Pulau Langkawi memang terdapat banyak pulau menarik tetapi hasil kajian penyelidik mendapati kawasan itu paling sesuai apatah lagi ia tidak jauh dari Pengkalan Kampung Kubang Badak.

“Meskipun ada beberapa arca ditenggelamkan ke dasar laut dan boleh dilihat menerusi aktiviti menyelam, pihak kita turut meletakkan beberapa arca lain di kawasan pesisir pantai dan separa tenggelam untuk memudahkan pelancong melihat dengan lebih dekat,” ujarnya.

Penghasilan arca-arca tersebut adalah sebahagian daripada program Community-Based Tourism anjuran Balai Seni Negara dengan kerjasama beberapa pihak antaranya Marine Research and Excellent Centre (MAREC) UiTM Perlis, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Pelancongan Seni dan Budaya Negeri Kedah, Geopark Langkawi, Jabatan Perikanan Malaysia, Pejabat Tanah Daerah Langkawi dan Polis Marin Langkawi.

Program ini juga telah mendapat tajaan daripada pihak Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan juga LADA.

WhatsApp Image 2022-05-22 at 5.50.06 PM

Kesemua arca itu akan ditempatkan di Pulau Pasir iaitu kira-kira 15 minit perjalanan dari Pengakalan Kubang Badak.

Sembilan arca itu dihasilkan dengan saiz minimum lima kaki setiap satu turut dilabuhkan di perairan Pulau Pasir dan akan berada pada kedudukan di daratan, sekitar pesisir dan gigi pantai dan paling menarik ‘dibenam’ ke dasar laut yang mengambil masa lima bulan untuk disiapkan.

Antara artis yang terlibat dalam program itu adalah Mohd Al Khuzairie Ali menerusi karya Sang Kelembai Meletus, Mohd Radzi Ismail (Belanga Pecah), Ahmad Fuad Osman (Tugu Antroposen), Umibaizurah Mahir @ Ismail (Permata Hinggap) dan Dr. Zainuddin Abindinhazir @ Abdul Rashid (Sumpahan Mahsuri).

Selain itu adalah karya Tengku Sabri Tengku Ibrahim berjudul Archelon, Abdul Multhalib Musa (Segitiga Langkawi), Low Chee Peng (Curse of Passing) dan Maxine Xie Xian Xin (Mushrooms For MuchRooms To Let).

Maklumat lanjut mengenai program ini, layari laman web www.artgallery.gov.my atau ikuti laman sosial rasmi Balai Seni Negara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain