suria

Hebat! Dua beradik qari qariah cipta kejayaan Tilawah al-Quran, rupanya mak ayah mereka pun bukan biasa-biasa

Kiri, Azfar johan qari Tilawah al-Quran dan kanan 'Arifah serta Azfar bersama piala dan hadiah kemenangan.

BUKAN biasa-biasa, dua beradik qari dan qariah dari Melaka melakarkan kejayaan di pentas yang sama pada Ihtifal KAFA Kebangsaan (IKK) 2022, hujung minggu lalu.

Berusia 10 tahun, Ahmad Azfar Azraie diumumkan sebagai juara qari Tilawah al-Quran, manakala kakaknya 'Arifah Azraie, 12, memperoleh tempat ketiga qariah dalam pertandingan IKK kali ketujuh yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan.

Kedua-dua mereka merupakan anak kepada pasangan Johan Qari dan Qariah Tilawah al-Quran peringkat negeri Melaka 2021 iaitu Azraie Abdul Hak dan Sarrul Munirah Haris.

Begitulah bak kata pepatah, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi.

dua beradik qari qariah 4

'Arifah tempat ketiga qariah Tilawah al-Quran.

Bercakap kepada mStar, Azraie, 42, berkata, dia amat bersyukur atas kejayaan yang dicapai oleh 'Arifah dan Azfar, masing-masing merupakan anak keempat dan kelima.

Dikurniakan tujuh cahaya mata, guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Beruang, Melaka itu turut berkongsi kejayaan anak-anaknya yang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkejut disamakan seiras Mat Kilau, warga emas Kampung Melayu Subang jadi perhatian... Raut wajah dan misai beruban saling tak tumpah!

"Empat anak saya rangkul johan dalam pertandingan Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan. Johan atau tidak bukan pengukurnya, tetapi minat mereka mendalami ilmu al-Quran.

"Anak-anak saya diasuh dengan al-Quran setiap hari. Dari kecil mudah nak atur dan corakkan mereka sebagai persediaan apabila membesar nanti," katanya ketika dihubungi.

dua beradik qari qariah 1

Azfar (dua, kanan) menerima piala kemenangan daripada Mohd Nassuruddin (dua, kiri). Turut serta Ahmad Marzuk (kanan).

Azfar sebelum ini turut mencipta kejayaan apabila merangkul Naib Johan Tilawah Antarabangsa Tijan Nour anjuran negara Qatar (dalam talian), baru- baru ini, manakala 'Arifah memperoleh Naib Johan IKK kali keenam pada 2021.

Azraie yang merupakan Johan Tilawah Antarabangsa Kuwait pada 2018 menyifatkan 'Arifah dan Azfar mempunyai personaliti yang berbeza.

"Si kakak 'Arifah seorang yang pendiam dan pemalu. Tapi dia sangat rajin membantu ibunya buat kerja-kerja memasak di dapur.

"Sementara Azfar pula ceria dan suka buat lawak. Minatnya buat reka bentuk seperti kraftangan," katanya yang juga dikenali sebagai Ustaz Azraie.

dua beradik qari qariah 3

Azraie dan isteri masing-masing merangkul tempat ketiga dan naib johan dalam pertandingan Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan 2022.

Azraie dan isteri menyertai pertandingan Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan 2022, masing-masing merangkul tempat ketiga qari dan naib johan qariah.

Ihtifal KAFA Kebangsaan merupakan aktiviti tahunan yang melibatkan pelajar-pelajar Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan Sekolah-Sekolah Agama (SMA) di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) seluruh negara.

Majlis penutup IKK 2022 disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud mewakili menteri besar. Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

dua beradik qari qariah 7

Azraie (kiri) bersama keluarga sewakti kejayaannya dan isteri menjadi johan qari dan qariah negeri Melaka pada 2021.

Pada majlis itu, Azfar dan 'Arifah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 dan RM300 serta piala iringan.

Azraie yang berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang perguruan berkata, dia menggunakan pendekatan tegas pada peringkat permulaan bimbingannya mengajar anak-anaknya menguasai bacaan al-Quran.

Saya berharap anak-anak ini akan menjadi penyambung perjuangan keluarga dalan melahirkan generasi al-Quran.

AZRAIE ABDUL HAK

"Saya mahu mereka fokus dan memahami apa yang dipelajari. Saya akan terus melatih mereka kerana banyak yang perlu diperbaiki.

"Pada masa sama, kami sekeluarga juga meluangkan masa bersama. Melakukan aktiviti jalan-jalan atau bercuti termasuk mencari tempat-tempat makan menarik dan viral," katanya.

dua beradik qari qariah 2

Azraie sekeluarga hadir memberi sokongan di Ihtifal KAFA Kebangsaan 2022.

Sebagai bapa, sudah tentu dirinya berbangga dengan kejayaan anak-anak, namun Azraie berharap pencapaian itu menguatkan lagi semangat mereka untuk terus menempa kejayaan.

"Diharapkan kejayaan ini dapat berkongsi inspirasi kepada ibu bapa dan anak-anak lain untuk menerapkan al-Quran dalam kehidupan mereka.

"Saya berharap anak-anak ini akan menjadi penyambung perjuangan keluarga dalan melahirkan generasi al-Quran. Moga dimanfaatkan semua," kata Azraie.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain