suria

“Cuba buat kraf manik sambil tutup mata” - Guru bangga ajar murid OKU, kemahiran setanding insan normal

Cikgu Saiful (tengah) bersama anak murid kelas KUP yang diajar kemahiran membuat kraf manik.

HAMPIR 13 tahun bergelar seorang guru namun ia sedikit pun tidak membuatkan lelaki ini jemu mengajar murid berkeperluan khas.

Meskipun kadangkala terpaksa menghabiskan masa bersama mereka, namun niat Saiful Amir Che Hamid, 38, hanya satu iaitu ingin memberikan kesedaran kepada masyarakat di luar sana bahawa murid kelas Kurang Upaya Pelbagai (KUP) sebenarnya memiliki kemahiran membuat kraf tangan manik.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ini berjaya sebagai pengasas produk! Niatnya hanya nak lihat suami segak bergaya dengan gaji puluhan ribu, bantu orang lain perbaiki kehidupan

"Di awal kerjaya saya telah didedahkan dengan selok belok dan kaedah pengajaran dalam menguruskan murid-murid di SMK Pendidikan Khas Setapak.

"Kerja sebagai seorang cikgu memang memenatkan lebih-lebih lagi apabila mengajar murid pendidikan berkeperluan khas khususnya kepada KUP," katanya kepada mStar.



Cikgu Amir (tengah) mengajar kemahiran kraf manik kepada 13 orang murid KUP.

Meskipun telah berkhidmat selama hampir 13 tahun, dirinya tidak pernah berasa jemu untuk terus membantu dalam menguruskan dan mengajar murid Pendidikan Khas.

Disebabkan itu juga, Saiful Amir yang berkelulusan dalam bidang Pendidikan Khas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mengambil keputusan untuk terus menabur bakti kepada golongan ini.

"Secara umumnya saya mengajar murid-murid Pendidikan Khas tetapi lebih mengajar kelas golongan KUP.

"Saya mengajar kelas kemahiran kraf manik di mana mereka diberi tunjuk ajar bagaimana untuk menghasilkan sesuatu produk menggunakan pelbagai jenis manik," tambahnya.



Kraf manik yang dihasilkan murid KUP bukanlah mudah dan perlu menjalani proses tunjuk ajar dari cikgu Saiful berulang kali.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan kerjayanya, Saiful Amir memberitahu, 13 orang muridnya daripada kelas KUP itu diajar kemahiran membuat kraf manik.

Kraf manik yang dihasilkan seperti tasbih, gelang manik, kerongsang dan mask extender bukanlah satu produk yang mudah dan mampu dilakukan orang ramai.

Tak hanya menghidapi satu masalah, mereka turut mengalami masalah lain (multiple dissabilities) seperti penglihatan, penyakit ADHD (iaitu kurang daya tumpuan terhadap sesuatu perkara), masalah fizikal dan epilepsi (sawan).

Walaupun secara zahirnya mereka mengalami kecacatan namun perkara itu bukanlah penghalang kepada murid istimewa ini dalam menghasilkan kraf manik.



Proses pembuatan kraf manik ini biasanya memakan masa yang lama tetapi ia berbaloi untuk dijual di pasaran selain maniknya yang pelbagai bentuk dan corak.

"Kraf manik yang murid-murid saya hasilkan biasanya dijual di koperasi sekolah dan menerusi media sosial Linktree @1stopShop_KUP dan Facebook page @SMKP Setapak - Kelas KUP.

"Selain mendedahkan saya kepada kehidupan sebagai seorang guru Pendidikan Khas, mereka juga telah dianggap seperti anak sendiri," katanya.

Amir menjelaskan ada antara muridnya yang mengalami penyakit epilepsi disebabkan oleh cuaca panas sukar untuk dikawal lebih-lebih lagi ketika sesi pembelajaran berlangsung.

Menurut cikgu yang berasal dari Kuala Lumpur dan membesar di Kota Bharu itu, rasa sebak sering mengusik dirinya ketika melihat murid kesayangan datang ke sesi pembelajaran hanya untuk menerima ilmu dan belajar kemahiran kraf manik daripadanya dan dibantu oleh seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM) kelas KUP.



Penghasilan manik biasanya di asingkan satu persatu agar murid berkeperluan khas itu boleh belajar dengan mudah di masa mendatang.

Meskipun penat mengajar pelajar istimewa ini, ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan kerjaya, malah mendatangkan kebahagiaan buat dirinya lebih-lebih lagi apabila ilmu yang diajar difahami muridnya walaupun perlu diulang berkali-kali.

Apabila ditanya bagaimana cara mengajar murid yang mengalami masalah penglihatan itu, Amir menjawab ia memerlukan tahap kesabaran dan empati yang tinggi - kerana sesi pembelajaran kraf manik dibuat secara fizikal dengan memegang tangan dan diajar berulang kali.

Amir turut mempelawa orang ramai berkunjung ke laman Facebook mereka untuk membeli hasil tangan kraf manik murid kurang upaya pelbagai ini di @SMPK Setapak - Kelas KUP.



Kepuasan dapat dialami dari diri Amir apabila ilmu yang disampaikan dapat difahami murid pendidikan khas walaupun memakan masa yang lama.

Dia turut menerima sokongan daripada pengetua, Zaidah Mahadi, yang bukan sahaja banyak memberikan dorongan dan motivasi kepada dirinya malah telah dianggap sebagai ibu sendiri.

"Dengan kemahiran yang diajarkan kepada mereka, mudahlah untuk mereka mendapat pekerjaan berdasarkan kemahiran yang dimiliki.

"Cuba letakkan diri di tempat mereka ini, dan buat kraf manik dalam keadaan menutup mata," tegasnya.



Kraf manik dengan harga mampu milik ini boleh didapati di Koperasi SMK Pendidikan Khas Setapak atau melalui akaun media yang dinyatakan di atas.

Bagaimanapun dia berpandangan kebanyakan masyarakat kini masih kurang memberi perhatian terhadap Pendidikan Khas khususnya golongan KUP.

Dia juga berharap agar masyarakat Malaysia tidak menyisihkan golongan kurang upaya yang sedang mencari pekerjaan.

Malah dia menyedari sesetengah syarikat memandang serong terhadap golongan ini, takut untuk menerima mereka bekerja di samping imbang berlaku sebarang kerosakan.

Hal ini telah disedari ramai pihak khususnya guru, dan kerana itulah pihak kerajaan menyediakan sekolah khas buat murid-murid istimewa untuk mendapatkan persediaan awal seperti kemahiran kraf manik yang akan membantu mereka mencari pekerjaan ketika berada di luar kelak.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain