suria

Warisi ilmu arwah atuk, nelayan Pantai Remis bergelar usahawan kini mampu tersenyum... kerang moluska dah sampai ke luar negara!

Faizul kini mampu berbangga apabila ternakan kerang yang diusahakan sudah di eksport ke luar negara.

HAMPIR 15 tahun bergelar nelayan yang meredah ombak dan menongkah arus di bawah terik matahari, namun ia sedikit pun tidak membuat lelaki ini jemu demi mencari rezeki halal.

Meskipun kadangkala terpaksa merempuh badai di lautan namun niat seorang nelayan, Faizul Sofian Sabddin, 44, hanya ingin memperbaiki kehidupan isteri, anak dan keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak hirau busuk, basah... 6 sahabat baru pulang bercuti bantu selamatkan kucing cacat dan terbiar di pusat perlindungan terkesan banjir

"Sejak kecil saya telah didedahkan dengan kerja-kerja sebagai nelayan, malah Allahyarham datuk saya juga banyak mengajar selok-belok mengenai cara menangkap ikan, mengutip kerang dan pelbagai hasil lautan lain.

"Kerja sebagai seorang nelayan memang memenatkan tetapi apabila terkenangkan anak, isteri dan keluarga... saya kuatkan semangat demi mencari rezeki halal untuk mereka," katanya kepada mStar.

Meskipun telah didedahkan dengan kerja sebagai seorang nelayan sejak kecil, Faizul bagaimanapun memberitahu ia bukanlah karier pilihan utama sebaliknya ingin bergelar seorang usahawan.

GridArt_20220104_181805035

Kerang Moluska yang diternak mengambil masa sehingga setahun sebelum boleh dituai.

Disebabkan itu juga, sejurus selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Faizul berhijrah ke Pulau Pinang untuk mencari pekerjaan dan peluang membuka perniagaan.

"Selepas SPM saya tak menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi sebab keluarga tidak mampu apatah lagi tanggungan ibu bapa ramai, saya ada 10 adik-beradik.

"Hampir tiga tahun saya bekerja di Pulau Pinang sebelum akhirnya berjaya membuka perniagaan sendiri iaitu pembekal tayar lori," ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan hidupnya, Faizul memberitahu, pada awalnya perniagaan membekal tayar lori itu berjalan lancar namun hati sebagai seorang anak nelayan sentiasa mengusik jiwanya sehinggalah dia mengambil keputusan pulang ke kampung halamannya di Pantai Remis, Perak.

Namun kata Faizul kepulangannya bukan hanya mahu kembali sebagai nelayan tetapi mahu memulakan perniagaan menternak dan menjual kerang jenis Moluska menerusi jenama Jun Fishery.

Kunci dalam berniaga sudah tentunya kesabaran dan usaha berterusan sekiranya benar-benar mahu melihat perniagaan itu berjaya.

FAIZUL SOFIAN SABDDIN

PENGASAS JUN FISHERMAN, PANTAI REMIS PERAK

"Selain mendedahkan saya kepada kehidupan sebagai nelayan, arwah datuk memang cukup banyak ilmu tentang penternakan kerang selain mempunyai banyak kenalan dalam bidang itu.

"Jadi sedikit sebanyak ilmu yang diturunkan masih tersemat dalam fikiran, sekaligus membuatkan saya memilih untuk memulakan perniagaan menternak dan menjual kerang," jelasnya yang memulakan perniagaan itu pada 2006.

Ditipu hampir setengah juta!

Pun begitu kata Faizul, memulakan perniagaan bukanlah satu perkara semudah, malah pelbagai dugaan dan rintangan terpaksa dihadapi sebelum boleh merasai hasil semua titik peluhnya selama ini.

Malah pada awal perniagaan itu dimulakan, dia sukar mendapat keizinan untuk memiliki tapak di laut bagi menternak kerang selain beberapa masalah lain yang membantutkan lagi usahanya itu.

"Bergelar seorang usahawan bukanlah semudah disangka malah pelbagai rintangan dan cabaran perlu dihadapi terlebih dahulu sehinggakan adakalanya terbit rasa ingin berputus asa.

GridArt_20220104_181135239

Faizul bersama pengusaha kerang di Thailand yang membeli hasil laut daripadanya.

"Tetapi kunci dalam berniaga sudah tentunya kesabaran dan usaha berterusan sekiranya benar-benar mahu melihat perniagaan itu berjaya," katanya.

Mengenang rintangan hebat pernah dialaminya, Faizul memberitahu dia pernah ditipu pembekal benih kerang yang memberikannya benih diseludup dari Johor dan bukannya dari Lekir di Manjung, Perak yang sesuai untuk diternak di perairan Pantai Remis.

"Apabila benih dari Johor diternak di kawasan Pantai Remis ia mudah mati disebabkan keadaan laut tidak sesuai.

"Biasanya benih yang sesuai di ternak di laut Pantai Remis adalah dari Lekir dan pembekal mendakwa benih itu dari kawasan berkenaan tetapi sebenarnya tidak," katanya.

Ekoran kejadian itu, Faizul berkata, dia mengalami kerugian sebanyak RM300,000 dan ia menjadi pengajaran hebat buatnya ketika itu.

GridArt_20220104_182350490

Kerang diternak di dalam laut di Pantai Remis.

Eksport kerang

Dalam pada itu, Faizul memberitahu menternak kerang Moluska bukanlah kerja mudah jika tidak disokong dengan minat yang mendalam.

"Apabila benih kerang ditabur, biasanya proses menuai kerang memakan masa sekitar lapan bulan ke setahun.

"Sepanjang tempoh setahun menunggu, saya lakukan kerja sampingan seperti menangkap ikan dan udang sebagai menambah pendapatan harian," ceritanya.

Daripada situ juga katanya, dia turut membuka beberapa perniagaan menjual ikan siakap segar dan ia mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja dari penduduk setempat tetapi orang luar yang datang untuk mendapatkan makanan laut segar.

Faizul memberitahu dia menjual kerang Moluska Gred AA dengan harga RM15 sekilogram (sekg) manakala Gred A (RM12 sekg) dan Gred B (RM9 sekg).

GridArt_20220104_182053334

Selain kerang, Faizul turut menternak udang segar.

Lebih membanggakan, kerang Moluska hasil ternakannya turut mendapat permintaan tinggi di luar negara seperti Laos, Kemboja dan Thailand.

Meskipun sudah berjaya sebagai seorang usahawan makanan laut, Faizul memberitahu dia tidak pernah lupa asal usulnya dan sentiasa mengingatkan dirinya agar membantu golongan memerlukan.

Kejadian banjir yang melanda di beberapa negeri baru-baru ini, Faizul bersama beberapa rakan niaganya mengambil tindakan pantas mengumpul dana untuk membeli keperluan asas untuk mangsa banjir.

"Saya dan rakan niaga lain mengumpul hasil pendapatan untuk membeli keperluan asas mangsa banjir, tanpa menunggu sebarang arahan pihak berwajib.

"Kami mengagihkan bantuan di Pahang dan kawasan Shah Alam mengikut kumpulan sepanjang tempoh musim banjir. Saya pernah rasa diri ini susah, jadi tahu keadaan mangsa banjir macam mana," tambahnya.

Berkongsi keuntungan demi meringankan beban golongan memerlukan, Faizul menjelaskan bahawa dirinya berhasrat memperkembangkan lagi perniagaannya melalui aplikasi digital untuk menarik penduduk tempatan berkunjung ke Jun Fishery.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Nelayan, laut, kerang, ikan, viral

Artikel Berkaitan

Artikel Lain