suria

Wanita ini berjaya sebagai pengasas produk! Niatnya hanya nak lihat suami segak bergaya dengan gaji puluhan ribu, bantu orang lain perbaiki kehidupan

Gandingan suami-isteri Nur Saidatul Akma dan Muhammad Aswadi telah meletakkan pasangan ini antara disegani dalam dunia perniagaan.

EMPAT tahun lalu usahawan muda ini pernah menjual produk jenama lain demi membantu ekonomi keluarga sehingga mampu menghasilkan jualan RM1 juta sebulan.

Usaha dan kejayaan dikecapi bagaimanapun sia-sia apabila mendakwa dirinya dikhianati sehingga tidak dibenarkan lagi menjual produk itu tanpa sebarang alasan munasabah.

Luluh hati Nur Saidatul Akma Jamaruddin mengenangkan apa kesilapan telah dilakukan sehingga menerima layan sebegitu namun rajuknya juga tidak lama.

Kini Ketua Pegawai Eksekutif Harqis Empire Sdn Bhd ini mampu tersenyum bangga apabila melihat syarikat yang ditubuhnya pada 2019 mula berkembang dan produk keluarannya semakin menjadi pilihan pelanggan.

"Ketika itu ia tamparan hebat buat saya kerana sepanjang menjual produk orang lain saya berusaha bersungguh-sungguh kerana bukan sahaja ingin membantu eknonomi keluarga tetapi membuka peluang menjana pendapatan kepada orang lain.

"Apabila perkara itu berlaku sudah tentu saya terguris hati tetapi Allah sebaik-baik perancangan dan ujian diberikan kepada saya ketika itu rupa-rupanya adalah untuk saya lebih berjaya di atas kaki sendiri.

Saidatul

Nur Saidatul telah mengharungi pelbagai cabaran dan ujian sebelum berjaya meletakkan dirinya ke tahap sekarang.

"Sekiranya cabaran kecil pun saya tidak boleh hadapi, bagaimana saya hendak berdepan dengan masalah lebih besar pada masa hadapan?" katanya kepada mStar.

Menerusi Harqis Empire Sdn Bhd, Nur Saidatul, 31, berkata, syarikatnya menjual pelbagai produk kesihatan seperti XS Perfect Caramel Cappucino, XS Perfect Hazelnut Latte dan juga XS Perfect Chocolate yang menjadi buruan pelanggan.

Harqis Empire Sdn Bhd mengeluarkan produk XS Perfect yang berfungsi membantu mengurangkan berat badan,mengawal selera makan dan melawaskan pembuangan dan baru-baru ini tampil dengan produk jenama Harqees untuk penjagaan dalaman lelaki dan wanita.

Pengorbanan suami tunjang kejayaan

Berkongsi kisah kejayaannya dalam perniagaan, Nur Saidatul memberitahu dia tidak akan berada di tahap sekarang tanpa sokongan dan pengorbanan suami tercinta, Muhammad Aswadi Abdul Wahap, 33, yang juga Ketua Pegawai Operasi Harqis Empire Sdn Bhd.

Jelas Nur Saidatul, sejak mula melibatkan diri dalam perniagaan dalam talian, suaminya itulah yang banyak berkorban masa dan tenaga bagi memastikan dia dapat mencapai potensi diri sehingga berjaya membuka syarikatnya sendiri.

"Suami saya mungkin di belakang tabir, tetapi impaknya sangat besar. Ketika saya sibuk menguruskan perniagaan dia berperanan melengkapi kekurangan saya seperti menguruskan anak, rumah tangga dan sebagainya.

saidatul 2

Suami adalah tulang belakang Nur Saidatul.

"Nampak kecil, tetapi pengorbanan yang dilakukan cukup besar di mata saya dan tanpanya saya tidak mungkin berada di tahap sekarang," katanya.

Kongsinya lagi, penglibatannya dalam dunia perniagaan juga sebenarnya demi membantu suami tercinta yang sebelum ini seorang penjawat awam dengan pendapatan bulanan yang tidak seberapa.

"Sampai satu tahap saya berasa kasihan dan sayu melihat suami yang penat bekerja malah ada sekali dia balik rumah dalam kepenatan dengan pakaiannya yang lusuh dan berbau masam.

"Meskipun dia tidak pernah merungut saya sematkan dalam hati pada satu hari nak tengok suami segak bergaya dalam persalinan sut dan mempunyai gaji puluhan ribu setiap bulan," imbaunya.

Ketika di awal penubuhan syarikatnya, Nur Saidatul memberitahu dia turut mengupah suaminya dengan bayaran RM2 untuk mencatat tempahan selain mempelajari selok belok perniagaan secara online.

Pada bulan pertama, lelaki itu mendapat RM800 daripada usahanya itu dan wanita ini terharu melihat reaksi suaminya yang cukup bersyukur dengan pendapatan sampingan diperolehinya.

Harqis 2

Pasangan suami-isteri ini sudah merangka pelbagai perancangan untuk memantapkan lagi jenama Harqis Empire Sdn Bhd.

"Alhamdulillah dalam tempoh kurang dari empat tahun saya berjaya menjadikan suami seperti apa saya impikan dengan bermula dari bawah.

"Apabila melihat kegigihannya belajar tentang selok belok perniagaan sepanjang tempoh itu membuatkan saya tidak ragu-ragu melantiknya sebagai ketua pegawai operasi syarikat," ujarnya.

Walaupun sudah berjaya, Nur Saidatul bagaimanapun tidak pernah meletakkan dirinya lebih tinggi di sisi seorang suami malah melihat toleransi dan persefahaman sebagai kunci kebahagiaan mereka.

"Kami kenal dan berkahwin daripada tiada apa-apa. Cabaran dalam rumah tangga tetap ada terutamanya ketika di awal perkahwinan.

"Tetapi saya tetap bersyukur mendapat seorang suami bertanggungjawab dan tidak pernah mengabaikan keluarga meskipun bukan berasal dari keluarga senang.

"Saya seorang wanita yang cukup beruntung kerana suami tidak pernah merungut dan sentiasa menjadi pelengkap saya dan itu juga resepi kejayaan kami," ujarnya.

Harqis 3

Malam Prom Night yang diadakan bagi meraikan Fighters Haqis Empire Sdn Bhd diadakan di Hotel Marriot Putrajaya pada malam Sabtu lalu.

Sementara itu, Muhammad Aswadi menyifatkan isteri tersayang sebagai seorang wanita yang cukup cekal dan mempunyai semangat luar biasa dalam memastikan perniagaan dibina berjaya.

"Pada saya faktor kejayaan isteri adalah teknik pemasaran dia memang luar biasa selain kredibilitinya dalam menguruskan perniagaan membuatkan saya kagum dengannya.

"Sejujurnya saya sendiri tidak menyangka Allah akan memberi rezeki yang cukup murah kepada kami tetapi ini juga amanah untuk kami lakukan lebih baik dan paling penting dapat membantu lebih ramai orang menambah pendapatan dan memperbaiki kehidupan," jelasnya.

Harungi pandemik

Seperti kebanyakan usahawan lain, Nur Saidatul berkata, dia juga berasa bimbang apabila pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia sehingga memberi kesan kepada pelbagai sektor termasuk perniagaan.

Ketika di awal pandemik katanya, dia mula berasa gusar kerana baru sahaja menambah stok yang bernilai RM1.5 juta dan buntu bagaimana ingin menjual kesemua produknya.

Ini kerana, selain isu Covid-19, ramai daripada pasukannya kurang yakin hendak menjual produk keluarannya sehingga dia mengambil tindakan menjual sendiri di laman sosial.

fdsdfs

Daripada ingin membantu ekonomi keluarga, wanita cekal ini kini mempunyai empayar perniagaannya sendiri.

"Apabila pasukan saya tengok saya sendiri bersemangat menjual produk, mereka semua mula yakin dan bersemangat untuk lebih bekerja keras meskipun dalam suasana pandemik.

"Alhamdulillah sangkaan saya jualan akan jatuh menjunam meleset sebaliknya naik sebanyak dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Tidak hanya itu, apa lebih penting kata Nur Saidatul, niatnya untuk membantu individu yang dibuang kerja ketika pandemik juga tercapai.

"Perniagaan saya boleh dikatakan 80 peratus menggunakan laman sosial seperti Instagram, Facebook dan jualan menerusi laman web.

"Bisnes online ini sebenarnya lebih mudah dan dapat menjangkau pelanggan lebih luas apatah lagi ketika pandemik ramai menghabiskan masa dengan telefon ketika duduk di rumah," jelasnya yang kini mempunyai lebih 1,000 ejen di seluruh Malaysia.

2022 tahun lebih gemilang buat Harqis Empire Sdn Bhd!

Berkongsi mengenai perancangan 2022, Nur Saidatul memberitahu selain bakal mengeluarkan lebih banyak produk berkualiti, pihaknya juga akan memantapkan promosi dan pemasaran Harqis Empire Sdn Bhd dalam usaha menjadikan jenama itu antara terbaik di pasaran.

Rahilah

Wan Rahilah sekali lagi dinobatkan sebagai Top Leader 2021.

Malah katanya, tahun ini sahaja syarikat akan membelanjakan RM1.5 juta bagi tujuan pemasaran berbanding hanya RM300,000 pada tahun lalu.

"Alhamdulillah jinggle Harqis Empire akan masuk stesen radio Suria selain beberapa stesen radio lain pada tahun ini. Selain itu kami juga akan mula naikkan billboard dalam usaha memperkenalkan jenama ini kepada pasaran lebih besar.

"InsyaAllah dengan pelbagai perancangan pemasaran dan promosi ini saya yakin kami dapat mencapai sasaran jualan RM25 juta berbanding hanya RM16 juta tahun lalu," katanya.

Tidak hanya tertumpu kepada itu, Nur Saidatul menjelaskan pihaknya juga turut mengadakan pelbagai kelas pemasaran secara offline dalam usaha memberi lebih banyak ilmu kepada pasukannya berhubung perniagaan secara dalam talian.

Malam Prom Night hargai usaha keras 'Fighters'

Bagi menghargai semua ejen, stokis dan leader Harqis Empire Sdn Bhd, Nur Saidatul turut menganjurkan malam penghargaan dengan bertemakan Prom Night di Hotel Marriot Putrajaya pada Sabtu lalu.

Jelasnya, acara itu bukan sahaja bagi menghargai usaha keras 'Fighters' di Harqis tetapi program itu juga dapat mengeratkan lagi silaturrahim di antara mereka.

Ida

Ida Simon datang dari Kota Kinabalu, Sabah untuk menerima penghargaan Top Stokis 2021.

Pada malam gilang gemilang itu, Wan Rahilah Wan Abdullah, 37, terpilih sebagai penerima Top Leader 2021 apabila berjaya mendapat jualan sebanyak RM9.9 juta tahun lalu.

Pencapaian luar biasa itu turut membolehkan Wan Rahilah membawa pulang sebuah kereta Proton X50 berserta beberapa hadiah sampingan lain.

Berkongsi kejayaan itu, Wan Rahilah berkata, itu adalah kali kedua dia menerima pengiktirafan sama dan ia bukti kesungguhan dan kegigihan dalam melakukan sesuatu pasti akan terbayar dengan kejayaan.

"Harqis Empire Sdn Bhd sentiasa membuka peluang kepada kami untuk memajukan diri dan berkat usaha dan kesungguhan Alhamdulillah kejayaan pasti dalam genggaman.

"Kejayaan ini juga bukti kesungguhan, kerjasama dan usaha ramai orang termasuk pasukan saya terutamanya dalam suasana pandemik sebelum ini," katanya.

Selain Wan Rahilah, stokis dari Kota Kinabalu, Sabah iaitu Ida Simon turut menerima penghargaan sebagai Top Stokis 2021 dengan jualan hampir RM600,000.

Seperti pengasasnya, Ida memberitahu penglibatannya dalam dunia perniagaan sekadar untuk membantu meringankan beban suami dan tidak pernah menyangka akan sampai ke tahap ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain