suria

Tak hirau busuk, basah... 6 sahabat baru pulang bercuti bantu selamatkan kucing cacat dan terbiar di pusat perlindungan terkesan banjir

Haiwan yang berada di pusat perlindungan ini memerlukan bantuan manusia untuk kelangsungan hidup.

DALAM kesibukan kita memberi fokus dalam misi membantu mangsa banjir, pemuda ini mengalih perhatiannya dalam menyelamatkan haiwan yang turut terkesan dengan bencana ini.

Lebih menyayat hati apabila haiwan yang menjadi mangsa terperangkap dalam banjir di pusat perlindungan di Selangor ini kebanyakannya buta dan lumpuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah merasai pengalaman terperangkap dalam air bah, usahawan ini derma ribuan bantal premium kepada mangsa banjir

Menurut Izad Raya, 43, dia tidak berseorangan dalam misi ini kerana dibantu oleh lima lagi sukarelawan lain yang tiba di rumah perlindungan tersebut kira-kira pukul 10 pagi, Jumaat lalu.

Anak jati Johor Bahru, Johor ini, menceritakan bahawa idea ini tercetus apabila dia dan lima rakannya yang lain sedang bercuti di Sabah pada 19 Disember lalu semasa kejadian banjir ini berlaku.

Idea bantu haiwan terperangkap banjir

"Kami tengah bercuti dekat Sabah masa tu sebab dah plan lama. Kami rasa sangat sedih dengan apa yang terjadi dan rasa terpanggil untuk bantu sebab kami sendiri tinggal di Kuala Lumpur dan mereka yang jadi mangsa sangat terkesan dengan bencana banjir.



Izad bersama-sama rakan dalam misi selamatkan kucing yang terkesan dengan situasi banjir.

"Kebetulan kami semua ni sememangnya cat lovers. Saya sendiri dekat rumah pun ada tujuh ekor kucing saya bela. Keenam-enam kami semua pun memang ada bela kucing.

"Salah seorang daripada kami bagi cadangan masa tu, nanti lepas balik dari Sabah nak cari apa yang boleh ditolong. Kebetulan kami semua 'hantu kucing' jadi okay kami sepakat buat sesuatu untuk bantu haiwan yang terkesan ni," ujarnya kepada mStar.

Bagi Izad yang kini menetap di Hartamas, Kuala Lumpur, sebagai pencinta kucing mereka sudah semestinya mereka mahu membantu 'cat lovers' yang lain.

Setelah mengumpul beberapa maklumat, mereka memutuskan untuk pergi menghulurkan bantuan di sebuah pusat perlindungan kucing milik Ain dan Razeef yang terletak di Taman Sri Muda, Selangor yang menempatkan lebih 400 ekor kucing dan anjing.

Menurut Izad, Ain dan Razeef ini selalu menjadi orang yang pertama turun jika ada berlaku banjir di negeri lain seperti Kelantan, Terengganu mahupun Pahang di mana mereka akan datang dan bantu menyelamatkan kucing-kucing yang terkesan.



Antara kucing yang dipindahkan semasa keadaan air banjir naik.

"Sekarang ni pula, first time mereka sendiri terkena banjir teruk. Saya tahu mereka ada juga terima bantuan lain tetapi tidak cukup.

“Kami terkejut dan tiada kata-kata yang boleh menggambarkan perasaan ketika kami sampai di SI Shelter. Apa yang saya nampak di hadapan saya hanya kesakitan dan kesengsaraan.

"Ini bukan kali pertama saya bantu kawasan yang terjejas disebabkan banjir. Bidang kerjaya saya memang memberi peluang saya berbakti setiap kali ada musibah.

"Tapi apa yang boleh saya katakan, Taman Seri Muda adalah berbeza.

"Hal ini mengingatkan saya tentang apa yang bos saya pernah kata semasa lawatan banjir pada tahun 2006. Ada perbezaan ketara apabila kamu dilanda banjir besar buat pertama kali. Kamu tiada sebarang persediaan dari segi mental dan fizikal. Kemudian, kamu rasa seperti kamu telah hilang segala-galanya," imbasnya yang bertugas sebagai Ketua Pegawai Komunikasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ini.

Menurut pemuda yang mesra disapa Izad ini, apa yang berlaku di Taman Sri Muda ini sememangnya mengingatkannya tentang situasi banjir teruk di Johor itu.

Bercerita lebih lanjut, pusat perlindungan haiwan SI Shelter adalah sebuah rumah kedai tiga tingkat dan semua kedai runcit berada di bawah bangunan turut musnah akibat bencana itu.

"Semasa kami tiba di sana kami tengok ada orang tengah bersihkan kedai ini sambil lihat apa yang masih boleh diselamatkan.



Ketiadaan elektrik di pusat perlindungan haiwan menyukarkan proses pembersihan.

"Bekalan kuasa masih tiada di kawasan tu. Jadi apabila kami sampai dan melangkah ke tangga rumah perlindungan, penglihatan agak terjejas tetapi kami dapat lihat di tangga itu hampir keseluruhannya dipenuhi barangan yang didermakan orang ramai.

"Ada makanan kucing dan anjing, sampah, makanan manusia, beberapa barang pembersihan dan banyak lagi. Sudah tentu kami disambut dengan 'bau' yang sangat kuat juga seperti bau kucing dan anjing serta bau busuk air banjir itu sendiri.

"Saya tak dapat bayangkan cabaran pasangan Ain dan Razeef yang menjaga pusat ini bersama haiwan-haiwan yang memerlukan penjagaan sepenuhnya ini sebelum bantuan sampai," tambahnya.

Bantuan lain setelah posting tular

Sebelum Izad dan lima sukarelawan lain tiba, sudah ada sukarelawan lain bermandi peluh dalam misi membantu memindahkan haiwan-haiwan ini setelah melihat posting di Facebook milik Izad yang tular.

Jadi mereka membahagikan tugas kepada beberapa kumpulan iaitu mengikut tingkat supaya kerja yang dilakukan lebih mudah dan cepat.

Tugas utama ialah membersihkan sangkar dan kawasan tetapi melihat kepada barangan sumbangan yang bertimbun di tangga, mereka memutuskan untuk membersihkan bilik yang sebelum ini digunakan untuk menempatkan haiwan yang tidak sihat, supaya barang dapat diatur dan disimpan dengan baik di sana.



Mendapat pertolongan tenaga kerja daripada sukarelawan yang turut membantu dalam proses pembersihan.

Proses kerja yang dilakukan mengambil masa hampir lima jam namun dia mengakui kerja menjadi lebih sukar dan terhad disebabkan keadaan lembab dan gelap.

"Kami seperti berada di sesi sauna dan saya jujur tidak boleh ingat bila kali terakhir saya melakukan tugas berat seperti ini.

"Tetapi saya melakukannya juga dan saya secara peribadi tidak percaya mampu melakukannya.

Proses pemindahan kucing cukup mencabar

Seperti dimaklumkan, SI Shelter menempatkan hampir 400 ekor kucing terbiar dan 11 ekor anjing pada masa ini. Terdapat juga kucing tidak sihat dan cacat seperti buta, lumpuh, kudung dan bermacam lagi.

"Kami juga dapat melihat sendiri episod di mana seekor kucing mengalami serangan sawan apabila kami sedang membersihkan kawasan berhampiran dengannya.

"Pertemuan pertama saya dengan haiwan-haiwan ini dalam keadaan ini begitu sedih dan sungguh hancur hati saya melihatnya.

"Ain juga terpaksa meninggalkan kami separuh jalan melakukan kerja pembersihan kerana salah seekor daripada kucing yang ada tidak sihat dan perlu dibawa ke doktor haiwan dengan segera," ujar Izad.



Antara haiwan yang sakit dan cacat berada di pusat perlindungan tersebut.

Ketika itulah Izad sekali lagi amat mengagumi pasangan ini kerana sanggup bersusah payah menjaga haiwan sakit dengan jumlah yang besar.

"Kami mungkin tidak mengubah tempat perlindungan itu untuk kelihatan seperti keadaan asal tetapi kami gembira dapat mainkan bahagian kecil kami untuk si bulus ini semua.

"Kami secara peribadi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua hati yang baik hati yang telah menderma ke arah inisiatif kecil kami ini.

"Terima kasih kepada penderma yang sangat istimewa, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang berjiwa besar yang baru sahaja menyambut hari lahirnya dan memutuskan untuk berkongsi sebahagian daripada wang hadiah hari jadinya untuk bantu haiwan malang ini,". kata Izad.

Jumlah kutipan ialah RM2,655 dan dengan wang tersebut, mereka telah berjaya membeli makanan kucing (50kg daripada Royal Canin (Fit) seperti yang diminta oleh Ain), pelbagai peralatan pembersihan dan sedikit makanan.

Kutipan dana masih berbaki sebanyak RM656 yang akan dikreditkan ke akaun Sl Shelter secara langsung.

Untuk sebarang maklumat lanjut atau bantuan, anda boleh layari Facebook milik Izad Raya atau pusat perlindungan SI Shelter itu sendiri.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain